Modenas Dinamik 120 kini model moped dua lejang terakhir di pasaran Malaysia

Sejak beberapa tahun yang lalu, peminat motosikal tempatan hanya mempunyai dua model pilihan untuk memiliki sebuah moped dengan enjin dua lejang, iaitu Yamaha 125ZR Super Sport dan Modenas Dinamik 120. Ini kerana pengeluaran model terbaharu lain kesemuanya menggunakan enjin empat lejang yang lebih mesra alam.

Kini selepas pengeluaran Yamaha 125ZR Super Sport ditamatkan, bermakna model dua lejang yang masih dikeluarkan ketika ini hanyalah Modenas Dinamik 120. Bagaimana pun setakat ini didapati stok 125ZR masih banyak di kedai-kedai motosikal, hanya menunggu masa sahaja sebelum kehabisan stok sehingga ke unit terakhir.

Selepas itu mahu tidak mahu, pilihan moped dua lejang hanyalah Dinamik sahaja. Itu pun dikhabarkan Dinamik 120 akan turut ditamatkan pengeluarannya, mungkin dalam tahun ini atau pada masa akan datang, memandangkan moped baharu Modenas yang dijangkakan dengan enjin 150cc bakal dilancarkan dalam tahun ini juga tidak lama lagi.

Tanpa 125ZR dan Dinamik 120, bermakna tamatlah riwayat motosikal moped dua lejang di pasaran Malaysia, yang mana suatu ketika dahulu pernah menjadi raja jalanan. Antara sebab pengeluaran motosikal dua lejang tidak lagi relevan untuk dikeluarkan ialah kerana piawaian alam sekitar masa kini yang semakin ketat.

Tambahan pula peminat dan pengguna motosikal kini mempunyai banyak pilihan motosikal moped empat lejang yang tampil dengan reka bentuk menarik dan berkuasa, dengan pilihan enjin bermula dari 125cc sehingga 185cc. Apatah lagi model dua lejang memiliki kelemahan tersendiri seperti kos petrol dan minyak 2T yang agak mahal.

Mungkin hanya peminat tegar moped dua lejang sahaja yang akan berusaha memastikan motosikal mereka kekal di persada dunia permotoran tanah air, selebihnya akan ditinggalkan sedikit demi sedikit dengan beralih arah memiliki model terbaharu moped empat lejang yang lebih moden, berkuasa dan cekap penggunaan bahan api.

Modenas Dinamik 120 boleh dikatakan sebuah model yang agak berjaya di pasaran tempatan ketika ini, walaupun di awal kemunculannya dahulu jualannya tidaklah terlalu laris. Jadi kepada peminat tegar moped dua lejang, Modenas Dinamik 120 menjadi pilihan terakhir untuk dimiliki, sebelum ianya senasib dengan model 125ZR.

Berdasarkan pemerhatian di dalam laman sesawang rasmi Modenas ketika ini, Modenas Dinamik ditawarkan dalam pilihan warna kuning, merah dan biru. Bagaimanapun di pasaran ketika ini turut ditawarkan ialah Modenas Dinamik 120 Edisi Harimau Malaya yang tampil dengan tema pasukan bola sepak Harimau Malaya.

Untuk makluman anda, di dalam laman sesawang rasmi Modenas di bahagian produk Dinamik 120, turut diselitkan ialah sebuah video YouTube yang bertajuk 2015 Modenas Dinamik (Blue Colour) yang dahulunya penulis rakamkan di sebuah kedai motosikal di Pekan Lama, Sungai Petani. Ironiknya, kedai tersebut ketika ini telah pun ditutup.