Triumph perkenal model Modern Classics terbaharu Triumph Speed Twin 2019

Dalam bulan Disember 2018 yang lalu, Triumph telah memperkenalkan model Modern Classics terbaharu Triumph Speed Twin 2019, yang mana ianya merupakan kemunculan semula model yang pertama kalinya diperkenalkan pada tahun 1938. Menurut Triumph, asas kerangka Speed Twin diambil daripada model Thruxton R.

Untuk model tahun 2019 ini, Triumph Speed Twin dikuasakan enjin berkapasiti 1,200cc (Liquid-cooled, 8 valve, SOHC, 270° crank angle parallel-twin) dengan kotak gear 6-kelajuan. Enjin tersebut menghamburkan kuasa bertenaga pada paras 97PS @ 6,750rpm dengan tork maksimum pada angka 112Nm @ 4,950rpm.

Antara sistem bantuan dan elektronik yang melengkapi Speed Twin terbaharu ini termasuklah torque-assist clutch, sistem ride-by-wire, tiga mod tunggangan (Sport, Road & Rain), ABS & switchable traction control, lampu LED, pengecas USB, immobiliser dan aksesori tambahan Tyre Pressure Monitoring System.

Sistem pemberhentian yang selamat menyaksikan Speed Twin dilengkapi sistem brek Brembo berspesifikasi tinggi dengan cakera berkembar di bahagian depan, manakala sistem brek cakera tunggal di bahagian belakang dimainkan peranannya oleh Nissin. Sistem suspensi depan merupakan fork dari KYB dengan cartridge damping, begitu juga dengan sepasang suspensi belakang KYB dengan ciri adjustable spring pre-load.

Speed Twin turut didatangkan dengan rim aluminium 7 bilah yang ringan bersama-sama tayar berprestasi tinggi Pirelli Diablo Rosso 3. Tangki bahan api yang dibekalkan mampu mengisi sehingga 14.5 liter petrol, dengan berat motosikal keseluruhan ialah 196 kg (dry weight). Tempat duduknya ditetapkan pada ketinggian 807 mm.

Triumph Speed Twin 2019 boleh didapati dalam tiga pilihan warna yang menyerlahkan lagi ciri Modern Classics jentera berkenaan, iaitu Korosi Red / Storm Grey, Jet Black dan Silver Ice / Storm Grey. Harga yang ditetapkan di pasaran UK untuk model ini bermula dari £10,500, bersamaan RM55,435.80 mengikut kadar tukaran semasa.