Indian FTR 1200 S Race Replica 2019 ditawarkan eksklusif dengan ekzos Akrapovic

Indian Motorcycle baru-baru ini mengumumkan model edisi istimewa Indian FTR 1200 S Race Replica 2019 akan dilancarkan secara eksklusif dengan ekzos Akrapovic. Menurut Indian, pembeli motosikal tersebut akan menikmati penjimatan yang signifikan berbanding melakukan pembelian aftermarket untuk ekzos berjenama terkenal itu.

Indian FTR 1200 S Race Replica merupakan model yang diasaskan daripada model flat tracker FTR 1200 S yang diperkenalkan pada tahun lepas, yang mana ianya tampil dengan kemasan cat Race Replica. Bagaimanapun pengeluaran model Race Replica tersebut hanya terhad dalam tahun pertama pengeluaran FTR 1200 S sahaja.

Untuk pasaran USA, Indian FTR 1200 S 2019 boleh dimiliki pada harga bermula dari $15,499, dalam tiga pilihan warna seperti Titanium Metallic over Thunder Black Pearl, Indian Motorcycle Red over Steel Gray dan Race Replica. Dikuasakan enjin 1,203cc dengan transmisi 6-kelajuan, kuasa yang dihasilkan setinggi 120hp dan tork 115.2Nm.

Kelengkapan standard yang dibekalkan adalah seperti 3 Ride Modes (Sport, Standard Rain), Lean Angle Sensitive ABS, Stability, Traction and Wheelie Mitigation Control, USB Fast-Charge Port, ABS, Cruise Control dan sistem lampu LED. FTR 1200 S memiliki tangki bahan api dengan kapasiti isian 12.9 liter dan berat penuh 235 kg.

Jarak tempat duduk motosikal daripada tanah berukuran setinggi 840 mm. Sistem brek cakera berkembar (Dual 320mm x t5 Rotor with 4-Piston Calipers) di bahagian depan dan cakera tunggal di bahagian belakang (Single 265mm x t5 Rotor with 2-Piston Calipers) seterusnya melengkapkan ciri keselamatan Indian FTR 1200 S 2019.