Benelli TRK 502X 2019 untuk pengembaraan lebih lasak

Benelli TRK 502X 2019 merupakan sebuah model pengembaraan dengan penampilan yang menarik dan lebih agresif berbanding model TRK 502. Ianya direka untuk penunggang yang mahu melakukan aktiviti penjelajahan tanpa batasan. 

Enjin yang memberikan kuasa kepada TRK 502X bersesaran 500cc (liquid cooled twin cylinder, 4-stroke, 4 valves per cylinder), yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 47.6hp @ 8,500rpm dengan tork puncak 45Nm @ 5,000rpm. Kuasa daripada enjin disalurkan ke permukaan jalan melalui kotak gear 6-kelajuan yang lancar.

Menurut Benelli, kerangka TRK 502X diperbuat daripada tiub trellis dan plat keluli, untuk memastikan ketegaran dan ketangkasannya dalam semua keadaan. Rim jejari aloi aluminiumnya pula didatangkan dalam saiz depan 19 inci dan belakang 17 untuk karakter yang tepat bagi sesebuah jentera penjelajahan lasak sepertinya.

Juga direka untuk tunggangan di laluan off-road, sistem suspensi TRK 502X memiliki talaan yang berlainan berbanding model versi jalanan, dengan kehadiran fork depan upside down 50 mm dan lengan ayun dengan monoshock boleh laras di belakang (spring preload, adjustable hydraulic rebound and compression settings).

Kedudukan sistem ekzos TRK 502X juga direka lebih tinggi bagi membolehkannya meredah laluan sukar tanpa sebarang masalah. Begitu juga dengan ketinggian tempat duduk yang kini berukuran 840 mm, manakala jarak kelegaan bumi mencapai 220 mm.

Juga tidak dilupakan ialah kapasiti tangki bahan apinya dengan isian maksimum 20 liter dan central stand sebagai peralatan standard. Roda depan 19 inci dan belakang 17 inci masing-masing dipasang tayar 110/80 dan 150/70, memberikan tahap keselamatan yang lebih baik walaupun dalam keadaan yang paling sukar.

TRK 502X dilengkapi brek cakera terapung berkembar 320 mm dengan dua piston kaliper di bahagian depan dan cakera tunggal 260 mm dengan satu piston kaliper di belakang, kedua-duanya dilengkapi ABS untuk pemberhentian yang lebih selamat.

Benelli TRK 502X 2019 tersedia dalam pilihan warna putih, merah dan hitam. Untuk pasaran Malaysia, setakat ini belum ada maklumat mengenai jadual pelancarannya.