Modenas akan lancar dua model baharu dalam segmen jalanan dan moped 150cc ke bawah tahun ini

Ada berita baik untuk peminat Modenas. Menurut laporan daripada akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian bertarikh 16hb. dan 17hb. Januari 2019 yang lalu, Modenas bakal melancarkan dua varian baharu model jalanan dan moped pada tahun ini, bagi motosikal dalam kelas 150cc dan ke bawah. 

Apabila menyebut model moped 150cc, mungkin model yang akan dilancarkan tersebut merupakan model yang selama ini ditunggu-tunggu, bagi bersaing dengan model-model seperti Yamaha Y15ZR, Honda RS150R, Benelli RFS150i dan SYM VF3i. Berkenaan model jalanan (street bike), tidak dapat dipastikan pula ianya model yang mana.

Menurut laporan akhbar itu lagi, perincian mengenai kedua-dua model baharu tersebut akan diumumkan dalam tempoh terdekat. Disokong pengenalan kedua-dua model baharu itu juga apabila dilancarkan nanti, Modenas telah meletakkan sasaran untuk menjual lebih banyak motosikal keluaran mereka pada tahun ini.

Diharapkan perancangan Modenas untuk melancarkan model street bike dan moped dengan enjin 150cc ke bawah ini akan menjadi kenyataan. Telah lama peminat tempatan menantikan buah tangan terbaharu daripada Modenas, dan pastinya sokongan untuk pengeluar motosikal berjenama tempatan ini akan sentiasa kukuh.

Sumber : Utusan Malaysia & Berita Harian