Honda Cub 100EX model tahun 1988 dan 1989 di pasaran Jepun

Honda EX5 merupakan sebuah model bertaraf ikonik di pasaran Malaysia. Antara sebab kenapa ia begitu popular ialah kerana reka bentuknya yang menarik, harga yang berpatutan sewaktu ia diperkenalkan di pasaran tempatan, enjin yang bertenaga, pengendalian yang mudah serta penggunaan bahan apinya yang sangat menjimatkan.

Honda EX5 juga dijual di pasaran Jepun, namun penulis tidak mempunyai banyak maklumat mengenai penjualan model tersebut di negara asalnya. Berdasarkan empat keping gambar yang masih tersimpan di dalam laman sesawang arkib Honda Jepun ini, ianya dikenali dengan nama Honda Cub 100EX, dan penulis hanya berjaya mengesan gambar-gambar studio model berkenaan bagi tahun 1988 dan 1989 sahaja.

Berdasarkan pengalaman, penulis pernah menunggang Honda EX5 keluaran tahun 1995 dan 1999 sebagai pengangkutan harian suatu ketika dahulu, dan prestasi kedua-dua model tersebut sangat memuaskan hati. Paling penulis suka ialah pengendaliannya yang mudah dan jimat petrol, walaupun kelajuan maksimumnya sekitar 100 km/j sahaja.