Benelli memperkenalkan model baharu Benelli 302S 2019

Salah sebuah model baharu yang diperkenalkan oleh Benelli bagi musim jualan 2019 kali ini ialah Benelli 302S. Model tersebut hadir dengan reka bentuk naked yang bergaya, sporty dan moden, menggunakan enjin 300cc terlaris Benelli. Wajah depan model ini antara yang menyerlah dengan kehadiran lampu utama jenis LED.

Benelli 302S 2019 ini dilengkapi enjin parallel twin-cylinder dengan sistem electronic fuel injection, dengan double overhead camshaft timing dan four valves, menghasilkan kuasa dan tork masing-masing pada 38hp @ 11,000rpm dan 25.6Nm @ 9,750rpm. Kuasa daripada enjin disalurkan ke permukaan jalan melalui kotak gear 6-kelajuan.

Kerangka Benelli 302S diperbuat daripada steel tube trellis yang kukuh, menawarkan ketegaran dan pengendalian maksimum di jalan raya. Suspensinya menampilkan fork upside-down hydraulic 41 mm di bahagian roda depan dan swinging arm (lengan ayun) dengan lateral adjustable shock absorber di bahagian roda belakang.

Untuk pemberhentian, 302S dibekalkan floating double disc 260 mm di bahagian depan dan floating disc 240 mm di bahagian belakang. Rim aloi aluminium 17 inci dipakaikan tayar Pirelli Angel 120/70 untuk roda depan, manakala ukuran tayar 160/60 untuk roda belakang. Tidak dilupakan ialah kapasiti tangki petrolnya mencapai sehingga 16 liter.

Model terbaharu Benelli 302S 2019 ini ditawarkan dalam pilihan warna putih dan hitam, masing-masing dengan kerangka berwarna merah. Menurut Benelli, model ini akan berada di pasaran pada awal 2019. Untuk pasaran Malaysia, masih belum ada sebarang maklumat mengenai pelancaran model naked yang menarik ini.