Yamaha YZF-R6 2019 di pasaran USA, harga dari $12,199

Untuk pasaran USA, Yamaha YZF-R6 model tahun 2019 hadir dalam tiga pilihan warna yang menyerlah iaitu Team Yamaha Blue, Matte Gray dan Intensity White. Harga yang ditawarkan untuk model supersport kelas pertengahan tersebut bermula dari $12,199, bersamaan RM49,838.54 mengikut kadar tukaran semasa. 

Yamaha YZF-R6 2019 dilengkapi enjin bersesaran 599cc (4-stroke, liquid-cooled, DOHC, forward-inclined parallel 4-cylinder, 4-valves) yang menghasilkan kuasa maksimum 118.4PS @ 14,500rpm dengan tork puncak 61.7Nm @ 10,500rpm. Sistem transmisi yang bergandingan dengan enjin tersebut merupakan unit 6-kelajuan.

Dari segi gaya dan reka bentuk, Yamaha YZF-R6 ini tampil dengan rekaan R-series generasi baharu dan mempunyai wajah yang kelihatan agresif dengan dua lampu posisi LED. Model ini turut dilengkapi tangki petrol aluminium 17 liter yang ringan, termasuk spesifikasi elektronik yang canggih seperti YCC-T, YCC-I, ABS, TCS dan D-Mode.

Untuk keyakinan yang lebih sewaktu tunggangan, YZF-R6 dibekalkan fork depan 43 mm yang boleh ditemui pada model YZF-R1, dan ianya ditala khusus untuk R6. Komponen brek juga sama seperti yang digunakan oleh R1, termasuklah cakera depan 320 mm dengan kaliper four-piston radial-mount dan ABS sebagai ciri standard.

Untuk anda, di bawah berikut ialah galeri gambar-gambar menarik Yamaha YZF-R6 2019 untuk pasaran USA. Untuk model tahun 2018, anda boleh melihatnya di sini.