Kawasaki perkenal trio model supersport ZX-10R KRT Edition, ZX-10R SE dan ZX-10RR 2019

Trio model supersport berprestasi tinggi Kawasaki ZX-10R KRT Edition, Kawasaki ZX-10R SE dan Kawasaki ZX-10RR, ketiga-tiganya merupakan model yang menerima kemaskini baharu untuk tahun 2019, telah diperkenalkan oleh Kawasaki sejak penghujung tahun lepas dan muncul di pameran motosikal EICMA 2018.

Ketiga-tiga model tersebut telah pun berada di pasaran Eropah, di mana versi Performance turut ditawarkan dengan kelengkapan aksesori asli daripada Kawasaki. Untuk pasaran Jepun, ZX-10R KRT Edition, ZX-10R SE dan ZX-10RR, akan dijual mulai 1 Mac 2019, pada harga 2,062,800 Yen, 2,656,800 Yen dan 2,926,800 Yen.

Kawasaki ZX-10RR 2019 merupakan model teratas, dan ianya turut dilancarkan di pasaran Malaysia pada bulan November 2018 yang lepas, pada harga asas sebanyak RM159,900.00. Hanya pembeli bertuah sahaja yang dapat memiliki model tersebut memandangkan ianya dikeluarkan dalam edisi terhad, 500 unit untuk seluruh dunia.

Kawasaki ZX-10R KRT Edition 2019 tersedia dalam pilihan warna tunggal hasil gabungan warna Lime Green / Ebony / Metallic Graphite Gray, begitu juga dengan model Kawasaki ZX-10R SE 2019 yang juga memiliki warna tunggal iaitu Metallic Carbon Gray / Neutron Silver / Lime Green. Enjin 998cc (Liquid-cooled, 4-stroke In-Line Four, DOHC, 16 valves) yang melengkapi kedua-dua model tersebut menghasilkan kuasa maksimum 203PS @ 13,500rpm dengan tork setinggi 114.9Nm @ 11,200rpm.

Bagi model Kawasaki ZX-10RR 2019, warna tunggal yang ditawarkan untuknya ialah Lime Green. Janaan kuasa untuk model edisi terhad itu mencapai 204PS @ 13,500rpm dengan tork puncak 115.7Nm @ 11,200rpm. Menurut Kawasaki, ZX-10RR merupakan ‘track-focused single-seat model’ yang telah dinaik taraf secara ekstensif.

Galeri : 2019 Kawasaki ZX-10R KRT Edition

Galeri : 2019 Kawasaki ZX-10R SE

Galeri : 2019 Kawasaki ZX-10RR