Honda Wave 125i serba baharu kini di pasaran Malaysia

Boon Siew Honda Sdn Bhd pada 19 November 2018 yang lalu secara rasminya melancarkan Honda Wave 125i serba baharu untuk pasaran Malaysia. Model tersebut kini hadir dengan rekaan yang lebih segar dan menarik berbanding model sebelumnya. 

Menurut Boon Siew Honda, Wave 125i serba baharu merupakan model pertama di dalam siri Wave yang dilengkapi dengan lampu depan LED. Lampu jenis tersebut bukan sahaja memberikan penglihatan lebih cerah, malah mampu bertahan lebih lama.

Wave 125i serba baharu kekal dikuasakan enjin 125cc yang boleh dipercayai, lengkap dengan sistem suntikan bahan api PGM-FI yang dipertingkatkan kebolehannya, seterusnya memberikan pecutan responsif di samping kurang penggunaan bahan api.

Seperti kebiasaan di dalam siri Wave yang menawarkan ruang storan di bawah tempat duduk, Wave 125i serba baharu menampilkan U-Box dengan kapasiti 18 liter yang boleh memuatkan topi keledar bermuka penuh. Untuk memudahkan penunggang, ruang storan boleh dibuka menggunakan slot kunci yang sama untuk penghidup.

Selain itu, tempat duduk yang lebih besar memberikan lebih keselesaan kepada penunggang, manakala tangki bahan api 5.4 liter mampu mencapai jarak perjalanan dalam anggaran sehingga 300 km. Wave 125i serba baharu boleh didapati dalam dua varian, varian cakera depan tunggal dan varian cakera berkembar depan dan belakang.

Pilihan warna yang tersedia pula adalah seperti Pearl Magellanic Black dengan Candy Scintillate Red, Pearl Magellanic Black dengan Pearl Nightfall Blue dan Force Silver Metallic. Ketiga-tiga warna tersebut tampil dengan jalur dan warna dua ton yang elegan. Berikut ialah senarai harga asas yang ditawarkan untuk kedua-dua varian :

  • 2019 Honda Wave 125i (Single Disc-Brake) : RM 5,999.00
  • 2019 Honda Wave 125i (Double Disc-Brake) : RM 6,299.00

Untuk ketenangan fikiran pemiliknya, Honda Wave 125i serba baharu didatangkan dengan jaminan pengeluar selama tempoh 2 tahun atau 20,000 km (yang mana tiba dahulu). Untuk maklumat lebih lanjut mengenai spesifikasi Honda Wave 125i serba baharu, ianya boleh dilihat di dalam imej brosur di dalam galeri di bawah, saksikan.