Boon Siew Honda perkenal warna baharu untuk Honda Rebel dan Honda X-ADV

Pada 26 Disember 2018 yang lalu, Boon Siew Honda Sdn Bhd telah memperkenalkan warna baharu untuk model Honda Rebel dan Honda X-ADV di pasaran Malaysia. Bagi Rebel, dua warna baharu diperkenalkan iaitu Mat Axis Gray Metallic dan Pearl Cadet Gray, manakala X-ADV menerima warna baharu Mat Moonstone Silver Metallic.

Dengan tambahan dua warna baharu tersebut, Honda Rebel di pasaran Malaysia kini ditawarkan dalam empat pilihan warna kesemuanya, termasuk warna sedia ada Graphite Black dan Millennium Red. Honda X-ADV pula menawarkan tiga pilihan warna kesemuanya termasuk warna sedia ada Mat Bullet Silver dan Grand Prix Red.

Honda Rebel merupakan sebuah model bergaya cruiser, dikuasakan enjin 471.03cc (Parallel – Twin DOHC Liquid cooled) dengan padanan transmisi 6-kelajuan, dan menawarkan kuasa maksimum 34kW @ 8,500rpm dengan tork 43Nm @ 6,500rpm. Rebel dilengkapi tangki petrol 11.2 liter dengan berat 191 kilogram (curb weight).

Bagi model adventure Honda X-ADV yang mempunyai rekaan unik ini, ianya dikuasakan enjin 745cc (Liquid-cooled, 4 stroke, Parallel Twin) yang dipadankan transmisi 6-kelajuan DCT. Janaan kuasanya mencapai 40.3kW @ 6,250rpm dengan tork maksimum 68Nm @ 4,750rpm. Sebagai sebuah model pengembaraan tahan lasak, X-ADV dibekalkan tangki bahan api dengan isian maksimum 13.1 liter.

Untuk pasaran Malaysia, Honda Rebel boleh dimiliki pada harga asas RM32,399.00, manakala Honda X-ADV ditawarkan pada harga asas RM63,299.00 (Standard Colour) dan RM65,499.00 (Special Colour). Kedua-dua model Rebel dan X-ADV didatangkan dengan jaminan selama 2 tahun atau 20,000 km, mengikut yang mana tiba dahulu.