Yamaha NIKEN GT 2019 di pasaran USA, harga dari $17,299

Untuk pasaran USA, Yamaha menawarkan model ‘Leaning Multi-Wheel’ (LMW) iaitu Yamaha NIKEN 2019 sejak hujung tahun lepas. Kemudiannya bagi memberikan lebih pilihan, Yamaha NIKEN GT 2019 pula diperkenalkan, pada harga jualan bermula dari $17,299, bersamaan RM70,656.81 mengikut kadar tukaran semasa. 

Berbanding NIKEN, NIKEN GT menawarkan pakej rangkaian aksesori touring mewah bagi meningkatkan lagi tahap keselesaan, praktikaliti dan fleksibilitinya. Antara peralatan yang dibekalkan standard untuk NIKEN GT termasuklah skrin touring yang lebih lebar dan lebih tinggi dan heated grip untuk lebih perlindungan dan keselesaan.

Juga disediakan ialah sepasang beg sisi yang mudah ditanggalkan, grab rail penumpang yang sedia untuk dimuatkan bagasi tambahan dan sepasang oulet DC 12-volt untuk aksesori pengecasan. Akhir sekali, centerstands untuk memudahkan penyelenggaraan dan pemuatan atau penurunan barang-barang.

Yamaha NIKEN GT dilengkapi enjin 847cc (liquid-cooled inline 3-cylinder) yang diambil daripada model Yamaha MT-09, menghasilkan prestasi bertenaga lengkap dengan transmisi 6-kelajuan (6-speed; multiplate assist and slipper wet clutch). Sebagai sebuah model canggih dan moden, NIKEN GT dilengkapi pelbagai sistem elektronik.

Antaranya ialah Yamaha Chip Controlled Throttle (YCC-T), sistem D-Mode untuk pemilihan karakter enjin, Traction Control System (TCS), sistem kawalan pelayaran, Quick Shift System (QSS), dan paparan instrumen LCD sepenuhnya yang jelas dan memberikan pelbagai informasi penting dan berguna kepada penunggang.

Untuk keselamatan, sistem brek NIKEN GT menawarkan prestasi cemerlang dengan sistem brek cakera di ketiga-tiga bahagian rodanya, serta pakej suspensi yang mantap dan selesa yang ditala khusus untuk merentasi perjalanan jarak jauh. Sistem lampu LED dibekalkan untuk NIKEN GT, bukan saja untuk tahap penglihatan cemerlang, malah untuk prestasi lebih cerah, tahan lama dan bergaya moden.

Pilihan warna yang ditawarkan untuk Yamaha NIKEN GT 2019 di pasaran USA ini ialah warna tunggal Matte Phantom Blue. Selain pasaran USA, NIKEN GT turut ditawarkan di pasaran Eropah. Untuk pasaran Malaysia, sama ada NIKEN atau NIKEN GT, dirasakan sukar untuk melihat HLYM atau pengimport bebas membawanya masuk ke sini.