Kawasaki Z400 2019 diperkenalkan untuk pasaran Eropah

Bertempat di EICMA 2018 di Milan, Itali, pada bulan November yang lalu, Kawasaki secara rasminya memperkenalkan model terbaharu Kawasaki Z400 model tahun 2019. Telah berada di pasaran Eropah, dan di pasaran Jepun mulai 15 Februari 2019, Z400 tampil dengan reka bentuk naked yang kelihatan cukup bergaya dan sporty.

Kawasaki Z400 hadir dengan enjin 399cc (liquid-cooled, 4-stroke Parallel Twin, DOHC, 8 valves) bersama-sama kotak gear 6-kelajuan, seterusnya menghasilkan kuasa maksimum 45PS @ 10,000rpm dengan tork setinggi 38Nm @ 8,000rpm. Operasi enjin dan klac dipermudahkan dengan kelengkapan sistem Assist & Slipper Clutch.

Antara ciri-ciri menarik yang dibekalkan untuk Z400 ini termasuklah lampu depan LED dengan rekaan sporty dan agresif, kerangka Trellis yang ringan, fork depan telescopic 41 mm lebih tegar, paparan skrin LCD dengan takometer bergaya analog dengan ciri pelbagai fungsi, rekaan motosikal yang ergonomik, ringan dan mudah dikendalikan.

Sistem brek depan Z400 disempurnakan oleh cakera berukuran 310 mm lengkap dengan ABS, manakala di bahagian roda belakang, ianya dilengkapi brek cakera berukuran 220 mm. Sistem suspensi belakang terdiri daripada unit tunggal monoshock yang kukuh (Bottom-Link Uni-Trak, gas-charged shock with adjustable preload).

Kawasaki Z400 memiliki ketinggian tempat duduk 785 mm yang selesa untuk penunggang, dengan berat keseluruhan motosikal hanya 167 kg (curb mass). Isian tangki minyak maksimum yang disediakan ialah 14 liter, sudah memadai untuk jarak perjalanan yang diinginkan oleh penunggang sebelum perlu mengisinya semula.

Bagi model tahun 2019 ini untuk pasaran Eropah, Kawasaki Z400 boleh didapati dalam dua pilihan warna yang menarik seperti Candy Lime green / Metallic Spark Black dan Candy Cardinal Red / Metallic Flat Spark Black. Berikut ialah galeri gambar-gambar menarik Z400 dalam resolusi tinggi, sila klik gambar untuk paparan lebih besar.