Benelli Tornado Naked T 2019 diperkenalkan

Benelli Tornado Naked T model tahun 2019 telah diperkenalkan oleh Benelli baru-baru ini. Model naked yang kompak dan cilik ini turut mempunyai kembarnya di pasaran Malaysia iaitu Benelli TNT 135, namun TNT 135 hadir dengan kapasiti enjin lebih besar 134.7cc dengan kuasa 13hp @ 9,000 rpm dan tork puncak 10.8Nm @ 7,000rpm.

Benelli Tornado Naked T 2019 dikuasakan enjin 125cc (single cylinder, 4 stroke, air cooled 4 valves, twin spark, 5 speeds gearbox) yang menawarkan kecekapan penggunaan bahan api maksimum dalam pelbagai keadaan tunggangan. Kuasa dan tork masing-masing berada pada paras 11.1hp @ 9,500rpm dan 10Nm @ 7,000rpm.

Menampilkan roda berukuran 12 inci dengan tayar 120/70 dan 130/70, bermakna ianya sangat lincah, tangkas dan stabil di jalan raya. Tugasan sistem suspensi Benelli Tornado Naked T diserahkan kepada fork depan upside-down 35 mm dan di bahagian belakangnya ialah penyerap hentak tunggal boleh laras (spring pre-load adjustment).

Sistem brek Benelli Tornado Naked T dipercayai memberikan prestasi maksimum, di mana bahagian depannya dilengkapi cakera 210 mm dan cakera 190 mm dengan CBS di bahagian belakang. Kapasiti penuh tangki bahan api yang dibekalkan ialah 7.2 liter. Benelli Tornado Naked T 2019 hadir dalam pilihan warna putih, hitam dan merah.