Zontes Malaysia akan melancarkan model baharu pada Mac 2019

Jenama pengeluar motosikal Zontes yang berasal dari China bakal melancarkan model pertamanya di pasaran Malaysia pada bulan Mac 2019 akan datang. Setakat ini berdasarkan maklumat awal dari laman Facebook Zontes Malaysia, model yang akan dilancarkan itu besar kemungkinan ialah Zontes 310X, Zontes 310R, atau mungkin juga model kembara Zontes 310T.

Zontes 310T mungkin merupakan model yang paling menarik sekali, bersesuaian dengan minat pengguna masa kini yang mahukan sebuah jentera untuk aktiviti pengembaraan jarak jauh. Zontes 310T dilengkapi enjin 312cc (single cylinder, DOHC, water cooling, fuel injection) dengan transmisi 6-kelajuan. Kuasa yang dihasilkan mencapai 26kW @ 9,500rpm dan tork maksimum 30Nm @ 7,500rpm. Kelajuan maksimum motosikal ini ialah 160 km/j.

Selain reka bentuknya yang menarik, Zontes 310T turut dilengkapi sistem brek cakera di bahagian roda depan dan belakang, lengkap dengan ABS dari Bosch. Sistem lampu adalah LED, manakala saiz tayar depan dalam ukuran 110/70-R17 dan belakang 160/60-R17. Isian tangki minyak Zontes 310T maksimum 15 liter, manakala berat motosikal ialah 158 kg (net weight).

Zontes 310T turut didatangkan bersama-sama sistem kawalan Keyless, paparan meter digital LCD, dua mod tunggangan yang mana E untuk kecekapan bahan api dan S untuk tunggangan lebih sporty (sports mode), penghadang angin eletrik yang lebar dan tinggi, pelindung tangan (hand-guard windshield cover) dan tidak dilupakan port pengecas USB.

Dengan kehadiran Zontes ke pasaran tempatan, sudah pasti segmen motosikal di negara kita akan bertambah meriah selepas ini. Namun semua itu bergantung kepada harga yang akan ditawarkan oleh Zontes Malaysia, kerana persaingan di antara pelbagai model dan jenama ketika ini boleh dikatakan agak sengit. Yang penting, pengguna mempunyai lebih banyak pilihan.