KYMCO perkenal motosikal supersport elektrik SuperNEX di EICMA 2018

Sebut sahaja KYMCO, ramai yang terbayangkan model-model skuter keluaran syarikat tersebut, malah ada di antaranya yang dikeluarkan semula oleh Modenas untuk pasaran tempatan. Namun begitu bertempat di EICMA 2018 yang lepas, KYMCO telah memperkenalkan sebuah model terbaharu motosikal supersport elektrik yang diberi nama KYMCO SuperNEX.

Berdasarkan siaran akhbar, KYMCO SuperNEX yang dipertontonkan itu masih merupakan konsep atau prototaip, bagaimanapun produksi sebenar untuk model tersebut akan dikeluarkan tidak lama lagi. Walaupun dijana oleh tenaga elektrik, KYMCO menekankan bahawa SuperNEX masih mengekalkan transmisi gear 6-kelajuan. Ini kerana bagi KYMCO, kemahiran menukar gear adalah merupakan suatu kebanggaan, seterusnya menjadikan keseronokan menunggang motosikal tidak hilang ditelan zaman.

Dari segi prestasi, SuperNEX mampu memecut dari 0 – 100 km/j dalam tempoh 2.9 saat, dari 0 – 200 km/j dalam tempoh 7.5 saat dan dari 0 – 250 km/j dalam tempoh 10.9 saat. SuperNEX juga hadir dengan sistem bunyi yang dikenali dengan nama Active Acoustic Motor, untuk memberikan bunyi dinamik yang bersesuaian dengan sifatnya sebagai sebuah model motosikal supersport. Malah bunyi yang dihasilkan boleh ditala semula mengikut kemahuan penunggang itu sendiri.

KYMCO SuperNEX juga ditawarkan dengan beberapa personaliti, atau lebih tepat lagi mod tunggangan. KYMCO menamakan personaliti setiap mod tersebut seperti Poised, Assertive, Bold dan Extreme. Penjelasannya adalah seperti berikut :

  • Poised, which turns off the world around you as you glide through the neighborhood, quietly projecting your inner strength.
  • Assertive, which turns on the attitude switch. Life is a perfect balance between power and civility.
  • Bold, which puts immense might under your grip, ready to release anytime in synchrony with your heartbeat.
  • Extreme, which means the beast is out, the desire is on fire, and others can only be seen in the rearview mirror.

Cuma maklumat mengenai jumlah kuasa atau janaan tenaga elektrik yang dihasilkan belum diumumkan, begitu juga dengan jarak perjalanan yang boleh ditempuhi apabila mesin dicas penuh. Berdasarkan gambar-gambar yang disiarkan di dalam galeri di bawah, SuperNEX dilengkapi dengan sistem brek Brembo dan suspensi dari Ohlins. Dari segi reka bentuk, SuperNEX sememangnya boleh dipuji. Cuma diharapkan motosikal supersport elektrik ini akan benar-benar berada di pasaran nanti.