Yamaha perkenal MT-10 2019 untuk pasaran Eropah

Yamaha MT-10 merupakan sebuah model yang berada di tahap lebih tinggi berbanding model MT-07 dan MT-09. Ianya sebagai pilihan untuk mereka yang mahukan sebuah jentera Hyper Naked dengan enjin yang  lebih berkuasa bersama-sama penampilan yang lebih agresif.

Untuk pasaran Eropah, Yamaha MT-10 model tahun 2019 diperkenalkan dalam bulan September 2018, dan ianya berada di pasaran rantau tersebut secara rasmi mulai bulan November tahun yang sama. Sama seperti MT-07 dan MT-09, MT-10 2019 hadir dengan pilihan warna Ice Fluo, Yamaha Blue dan Tech Black. Di pasaran UK, harganya  bermula dari £11,499.00 (RM60,112.75).

Yamaha MT-10 2019 dikuasakan enjin crossplane CP4 empat silinder 998cc, dengan janaan kuasa maksimum 160.4PS @ 11,500rpm dan tork puncak 111.0Nm @ 9,000rpm. Enjin tersebut kemudiannya digandingkan dengan transmisi 6-kelajuan. Untuk kawalan jentera terbaik, MT-10 dilengkapi sistem YCC-T (Yamaha Chip Controlled Throttle) dan juga sistem Cruise Control mudah dilaras yang beroperasi di atas kelajuan 50 km/j.

Untuk tunggangan dalam pelbagai keadaan, MT-10 turut dilengkapi sistem Yamaha D-MODE yang menawarkan tiga mod karakter enjin. Ciri-ciri bantuan lain untuk penunggang termasuklah TCS (Traction Control System), QSS ( Quick Shifter System) dan klac A&S (Assist & Slipper).

Menurut Yamaha, MT-10 mempunyai kerangka yang kompak dan ringan dengan jarak roda hanya 1,400 mm, menjadikannya sebuah jentera yang begitu lincah dan tangkas. Kerangka utama Deltabox dan lengan ayun buatan aluminium yang sangat ringan membolehkan model tersebut menawarkan kawalan terbaik di dalam kelasnya dengan kestabilan di jalan lurus yang bagus.

Fork depan cartridge-type 43 mm yang boleh dilaras sepenuhnya dan sistem suspensi belakang Monocross link-type merupakan antara rekaan canggih yang dibekalkan untuk MT-10, bercirikan perlumbaan dan ditala khusus untuk penggendalian yang cemerlang dan keselesaan.

Untuk pemberhentian yang selamat bagi sebuah jentera naked berkuasa tinggi sepertinya, sistem brek depan terdiri daripada cakera berkembar terapung 320 mm, manakala dibelakangnya ialah cakera berdiameter 220 mm. ABS merupakan ciri standard untuk sistem brek tersebut.

Roda depan memperlihatkan penggunaan tayar 120/70 ZR17 M/C (58W), berpasangan dengan tayar belakang 190/55 ZR17 M/C (75W). Untuk perjalanan lebih jauh, muatan maksimum petrolnya mencapai 17 liter. Berat keseluruhan MT-10 ialah 210 kg (wet weight).