Yamaha MT-10 Tourer Edition 2019 lebih praktikal dan selesa untuk perjalanan jauh

Model Hyper Naked berkuasa tinggi dengan tork serba mewah Yamaha MT-10 2019 merupakan sebuah jentera yang lincah dan tangkas.

Namun sejauh mana kemampuannya untuk merentasi perjalanan jauh yang mementingkan praktikaliti dan keselesaan? Jawapan bagi persoalan tersebut telah dijawab oleh Yamaha dengan pengenalan model sports touring Yamaha MT-10 Tourer Edition.

Bagi model tahun 2019, Yamaha MT-10 Tourer Edition kekal praktikal dan menawarkan keselesaan tunggangan untuk perjalanan jarak jauh, sama ada siang atau pun malam.

Antara penambahbaikan atau naik taraf yang telah dilakukan berbanding versi MT-10, Tourer Edition dilengkapi sidecases, cermin penghadang angin yang tinggi, tempat duduk yang lebih selesa, pelindung genggaman (knuckle guards) dan sokongan sistem navigasi satelit GPS yang tersedia sebagai pilihan.

Spesifikasi teknikal tidak berubah, kental dengan prestasi melalui enjin empat silinder 998cc yang diambil secara terus daripada model supersport Yamaha YZF-R1, di samping pelbagai teknologi canggih dan sistem bantuan yang menjadikan tunggangan lebih mudah dan bervariasi mengikut situasi, serta lebih selesa dan selamat.

Bagi memberikan lebih pilihan dan daya penarik, MT-10 Tourer Edition 2019 kini boleh didapati dalam pilihan warna baharu Ice Fluo di samping warna Yamaha Blue dan Tech Black.

Mengenai harganya, di pasaran UK ianya ditetapkan sebanyak £12,349.00, bersamaan RM64,512.39 mengikut kadar tukaran semasa.