TVS Apache RTR200 4V Race Edition 2.0 2019 dilancarkan di pasaran Malaysia

Pendatang baharu dalam segmen motosikal jalanan di Malaysia, TVS Apache RTR200 4V Race Edition 2.0 model tahun 2019, kini ditawarkan pada harga jualan RM10,950.00. Model berimejkan sporty dan perlumbaan itu diedarkan ke pasaran tempatan oleh Daju Motors Sdn Bhd.

Janaan kuasa TVS Apache RTR200 disempurnakan oleh enjin berkapasiti 197.75cc dengan kotak gear 5-kelajuan, lengkap dengan teknologi canggih A-RT (Anti Reverse Torque) Slipper Clutch. Kuasa maksimum yang terhasil mencapai paras 21PS @ 8,500rpm dengan tork puncak 18.1Nm @ 7,000rpm.

Spesifikasi lain yang melengkapi model tersebut termasuklah sistem suspensi teleskopik di bahagian roda depan, suspensi monoshock di bahagian roda belakang, paparan meter digital, sistem brek cakera depan dan belakang, tangki petrol maksimum 12 liter, berat basah 149 kg, dan pilihan warna merah, hitam, putih, kelabu dan merah matte.

TVS Motor Company merupakan syarikat pengeluar motosikal ketiga terbesar di India. Dengan kehadiran TVS Apache RTR200 4V Race Edition 2.0 2019 ini, pasti ianya memberi lebih banyak pilihan kepada peminat dan pengguna motosikal di pasaran tempatan ketika ini.