Yamaha MT-09 2019 diperkenalkan untuk pasaran Eropah, hadir dengan warna baharu Ice Fluo

Model Hyper Naked Yamaha MT-09 bagi tahun 2019 untuk pasaran Eropah telah diperkenalkan secara rasmi dalam bulan September 2018 yang lalu, dengan jualannya bermula pada bulan Disember tahun yang sama.

Tampil dengan enjin crossplane yang mempunyai kuasa tork tinggi, badan naked dan kawalan yang lincah dan tangkas, MT-09 diperkenalkan di pasaran Eropah dengan falsafah rekaan baharu yang berani – Dark Side of Japan. Menurut Yamaha, falsafah rekaan tersebut diinspirasikan daripada underground custom scene di Jepun.

Sejak ketibaan model pertama MT-09, segmen Hyper Naked kemudiannya telah berkembang dengan pantas sehingga termasuk tujuh model kesemuanya, daripada model flagship MT-10 SP sehinggalah ke model MT-125. Setiap satu daripadanya telah terbukti berjaya dalam setiap kategori masing-masing.

Dalam masa hanya 5 tahun, jualan siri MT di pasaran Eropah telah mencapai 175,000 unit, menjadikannya rangkaian motosikal keluaran Yamaha yang paling berjaya dan popular. MT-09 dan MT-07 kekal konsisten di kalangan model-model yang mencatatkan jualan terlaris.

Dari segi spesifikasi, Yamaha MT-09 2019 dilengkapi enjin 847cc (3-cylinder, 4-stroke, liquid-cooled, DOHC, 4-valves) yang digandingkan dengan transmisi 6-kelajuan. Turut melengkapinya ialah Quick Shift System (QSS) dan Assist & Slipper Clutch. Enjin tersebut menghasilkan kuasa maksimumĀ 115PS @ 10,000rpm dengan tork puncakĀ 87.5Nm @ 8,500rpm.

Ciri-ciri lain yang melengkapi MT-09 termasuklah lampu depan LED berkembar yang agresif, fork depan inverted 41mm boleh laras, teknologi kawalan elektronik D-Mode dengan tiga pilihan untuk mengawal karakter enjin, Traction Control System (TCS), sistem brek ABS, lampu posisi LED dan paparan instrumen meter digital.

Yamaha MT-09 2019 mempunyai ketinggian tempat duduk 820 mm dan berat basah motosikal 193 kg, tangki bahan api dengan kapasiti 14 liter, seterusnya ukuran tayar depan 120/70ZR17 dan belakangĀ 180/55ZR17. Pilihan warna yang disediakan kali ini ialah Ice Fluo (warna baharu), Yamaha Blue dan Tech Black.

Untuk pasaran Malaysia, Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) menawarkan Yamaha MT-09 pada harga sekitar RM48k, namun model tersebut masih merupakan model tahun 2018. Mungkin MT-09 model tahun 2019 akan dilancarkan oleh HLYM tidak lama lagi.