WMoto Cub Classic 110 dilancarkan di pasaran Malaysia, harga asas RM4,588.00

Dalam bulan Disember 2018 yang lalu, pasaran Malaysia secara rasminya telah menerima pelancaran motosikal terbaharu yang diberi nama WMoto Cub Classic 110. Bersesuaian dengan namanya, model kapchai tersebut tampil dengan rekaan bergaya klasik dan dijual pada harga asas RM4,588.00. Ianya diedarkan oleh pengedar tempatan MForce Bike Holdings Sdn. Bhd.

WMoto Cub Classic 110 dilengkapi enjin empat lejang dalam sesaran 109.2cc dengan sistem penyejuk udara dan satu silinder. Enjin tersebut kemudiannya dipadankan dengan kotak gear 4-kelajuan. Kuasa maksimumnya adalah sebanyak 6.0kW @ 7,500rpm dan tork puncak 8.0Nm @ 5,500rpm. Sistem penyampaian bahan api WMoto Cub Classic 110 ini masih lagi karburator.

Spesifikasi lain yang dibekalkan untuk motosikal ini termasuklah sistem penghidup tendang dan elektrik, suspensi depan USD, sistem brek dram di bahagian depan dan belakang, saiz tayar depan 70/90-17 dan belakang 80/90-17, tangki petrol dengan isian maksimum 4 liter dan berat 100 kg. Ciri-ciri lain ialah lampu LED, soket pengecas USB dan panel meter berwarna.

WMoto Cub Classic 110 boleh didapati dalam tiga pilihan warna menarik seperti Matte Black, Matte Red dan Matte Green. Jaminan yang ditawarkan oleh pengeluarnya ialah selama tempoh 2 tahun atau 20,000 km, yang mana tiba dahulu. Untuk peminat motosikal kapchai bergaya klasik yang dijual pada harga mampu milik, mungkin boleh mempertimbangkan model ini.