Suzuki Katana 2019 merupakan jelmaan semula sebuah legenda dunia permotoran


Suzuki Katana tidak dinafikan lagi merupakan sebuah model yang kini menjadi legenda dan ikonik dalam dunia permotoran antarabangsa. Oleh itu tidak hairanlah kalau jelmaan semula model tersebut sebelum ini amat dinanti-nantikan. Memperkenalkan Suzuki Katana 2019, yang mana ianya secara rasmi membuat penampilan sulong di INTERMOT 2018 yang berlangsung di Cologne, Jerman pada Oktober yang lalu.

Pertama sekali yang menjadi tumpuan utama ketika Katana 2019 dipertontonkan kepada pihak media, pengunjung dan juga peminat, ialah mengenai rekaannya. Suzuki ternyata mengambil jalan selamat apabila rekaan Katana serba baharu masih lagi kental dengan rekaan model terdahulu Suzuki GSX1100S Katana yang kini sudah mencapai taraf klasik. Rekaannya tidak terlalu drastik dan tidaklah pula terlalu memukau, namun tetap mendapat pujian.

Kuasa Suzuki Katana 2019 hadir melalui enjin empat silinder berkapasiti 999cc, dengan hamburan maksimumnya mencapai 150hp @ 10,000rpm bersama-sama tork puncak 108Nm @ 9,500rpm. Ciri-ciri lain yang dibekalkan untuk Katana antaranya fork depan USD 43mm boleh laras sepenuhnya dan penyerap hentak belakang daripada KYB (rear shock adjustable for rebound damping and spring pre-load), serta sistem brek Brembo dengan cakera terapung 310mm berkembar, dan kemudiannya disempurnakan melalui sistem ABS daripada Bosch.

Sistem kawalan tarikan (traction control system) tiga mod yang melengkapi Katana, dengan ciri boleh dimatikan, membolehkan penunggangnya mengeksploitasi prestasi mesin dalam pelbagai keadaan jalan dan cuaca. Sistem tersebut akan memantau secara berterusan kelajuan roda depan dan belakang, kedudukan pendikit, kedudukan engkol dan sensor kedudukan gear. Ini membantu memastikan operasi kawalan daya tarikan menjadi lebih lancar dan kurang gangguan.

Suzuki Katana yang asal hanya tersedia dalam warna perak, namun untuk Katana 2019 ini, Suzuki telah memperkenalkan satu lagi warna baharu iaitu hitam. Menurut Suzuki, tambahan warna terbaharu tersebut akan memberikan pelanggan lebih pilihan. Setakat ini untuk pasaran UK, Katana 2019 dijangka akan sampai ke bilik pameran pengedar dalam tempoh suku kedua tahun ini. Apa pula pendapat anda mengenai jelmaan semula model legenda ini?