Honda 400X 2019 terima kemaskini baharu, di pasaran Jepun mulai 22 Mac 2019


Untuk pasaran domestik Jepun, Honda 400X model tahun 2019 akan tiba secara rasmi mulai 22 Mac 2019. Berbanding model tahun sebelumnya, 400X 2019 kini telah menerima kemaskini baharu dari segi rekaan terutamanya di bahagian depan yang kini tampil lebih tajam dan sporty.

Enjin masih sama 399cc (water-cooled 4-stroke DOHC 4 valve in-line 2 cylinder) yang dipadankan transmisi 6-kelajuan, seterusnya hadir dengan kuasa maksimum 46PS @ 9,000rpm dan tork puncak 38Nm @ 7,500rpm. Enjin tersebut turut dilengkapi sistem penyampaian bahan api elektronik PGM-FI dengan kelengkapan terbaharu Assist Slipper Clutch.

Menurut Honda, enjin 400X 2019 telah dikemaskini semula di bahagian intake dan sistem ekzos, membolehkan prestasinya dipertingkatkan untuk tunggangan yang lebih baik dalam pelbagai situasi. Untuk lebih keselesaan, ketinggian cermin penghadang anginnya juga telah ditambah 20mm, seterusnya membantu mengurangkan keletihan sewaktu tunggangan jarak jauh dan pada kelajuan tinggi.

Sistem lampu 400X terdiri daripada komponen LED sepenuhnya, menyumbang kepada rekaan yang kompak dan ringan. Paparan instrumen LCD rekaan baharu bukan saja menambahbaik penglihatan, malah kini dilengkapi petunjuk posisi gear. Perubahan baharu paling ketara ialah tayar depan ditukar daripada saiz 17 inci kepada 19 inci untuk peningkatan prestasi tunggangan.

Pilihan warna untuk Honda 400X 2019 ini kekal menarik iaitu Grand Prix Red dan Matt Ballistic Black Metallic. Harga jualannya di pasaran domestik Jepun ditetapkan sebanyak 811,080 Yen, bersamaan RM29,898.93 mengikut kadar tukaran semasa.