Benelli 302R model tahun 2019


Benelli 302R merupakan sebuah model supersport yang turut dijual di pasaran Malaysia, dilancarkan sekitar bulan April 2017 yang lalu. Harga yang ditawarkan untuk 302R ini sekitar RM23k, agak berpatutan untuk sebuah jentera dengan enjin 300cc. Dipadankan kotak gear 6-kelajuan, enjin tersebut menghasilkan kuasa maksimum 38hp @ 11,000rpm dengan tork puncak 25.6Nm @ 9,750rpm. 

Bagi model tahun 2019, Benelli 302R kelihatan masih sama seperti model tahun sebelumnya, tanpa ada sebarang perubahan teknikal atau kosmetik. Suspensi depannya jenis terbalik, belakang swing arm dengan monoshock, tangki bahan api dengan kapasiti 14 liter dan berat 190 kg (unladen weight). Saiz tayar depan motosikal berkenaan berukuran 110/70-ZR17 dan belakang 150/60-ZR17.

Untuk pemberhentian yang selamat, Benelli 302R 2019 dilengkapi cakera terapung berkembar 260mm dengan 4 piston caliper di bahagian depan, dan cakera belakang tunggal 240mm dengan 1 piston caliper. Pilihan warna yang tersedia ialah Putih Merah, Perak Hijau dan Hitam Merah.