Yamaha Exciter 150 Version 2.0 2019 dilancarkan di pasaran Thailand

Pada tarikh 08hb. Februari 2019 yang lepas, Yamaha dengan rasminya melancarkan moped 150cc Yamaha Exciter 150 Version 2.0 model tahun 2019 untuk pasaran negara jiran Thailand. Model tersebut sebelum ini dilancarkan di pasaran Vietnam dan Indonesia, dan selepas Thailand, Malaysia mungkin akan menjadi destinasi seterusnya tidak lama lagi. 

Yamaha Exciter 150 2019 untuk pasaran Thailand hadir dengan tiga pilihan warna iaitu biru (GP Edition), merah dan hitam (Standard), dan tidak dilupakan versi Movistar MotoGP Edition. Harga jualan yang ditetapkan bermula dari 63,000 THB (RM8,155.77) untuk model berwarna biru, merah dan hitam, manakala model versi MotoGP berharga sebanyak 63,500 THB (RM8,218.41).

Antara yang baharu untuk Yamaha Exciter 150 2019 ini termasuklah rekaan lampu depan LED yang lebih sporty, suis lampu kecemasan dan lampu kecemasan, meter LCD digital sepenuhnya, tayar depan lebih besar bersaiz 90/80-17, suspensi monoshock dengan lengan ayun yang lebih selesa dan stabil, dan juga Answer Back Key untuk kemudahan pencarian sehingga 20 meter.

Untuk pasaran Malaysia, Yamaha Exciter 150 dikenali dengan nama Yamaha Y15ZR. Setakat ini belum ada maklumat bilakah Yamaha Y15ZR Version 2.0 model tahun 2019 akan dilancarkan oleh HLYM, namun dijangkakan pelancarannya akan berlangsung dalam tahun ini juga.