Kisah pahit pengeluar motosikal berjenama Demak


Kira-kira 15 tahun yang lalu, penulis pertama kali mendengar jenama motosikal baharu di pasaran tempatan bernama Demak. Memang pelik dan dirasakan agak kelakar untuk sebuah syarikat motosikal menggunakan jenama seperti itu. Motosikal pertama keluaran Demak yang penulis lihat pula ialah sebuah model motosikal mirip kapchai Honda EX5.

Saban tahun berlalu, jenama Demak kemudiannya dilihat semakin berkembang dengan penawaran pelbagai model motosikal terbaharu di pasaran tempatan, daripada kapchai, skuter sehinggalah model dengan enjin 250cc. Boleh dikatakan di mana-mana kedai menjual motosikal, pasti terdapat deretan model-model keluaran Demak yang setia menunggu pelanggan.

Kemudiannya setelah lama bertahan dalam arena permotoran tempatan, akhirnya sekitar pertengahan tahun 2018 yang lalu, Demak yang diuruskan oleh syarikat DNC Asiatic Holdings Sdn. Bhd., akhirnya terpaksa akur bahawa mereka tidak mampu lagi bersaing di pasaran Malaysia yang sangat kompetetif. Demak terpaksa menutup operasinya secara rasmi pada 31hb. Mei 2018.

Menurut laporan, sepanjang beroperasi, Demak dikatakan menanggung kerugian, namun tidaklah dapat dipastikan sejauh mana kerugian yang terpaksa ditanggung itu. Sememangnya sukar untuk jenama Demak bersaing dengan jenama-jenama lain seperti Yamaha, Honda, Modenas, SYM dan lain-lain, malah Suzuki sendiri terpaksa menamatkan operasi di pasaran Malaysia sebelum ini.

Berdasarkan pemerhatian penulis, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan Demak tewas dalam perniagaan menjual motosikal di pasaran Malaysia. Pertama, kebanyakan model-model keluaran Demak mempunyai reka bentuk tiruan atau copycat, di mana rekaan model-model keluarannya sama seperti model-model keluaran Honda dan Yamaha.

Kedua ialah kualiti. Adalah tidak adil untuk penulis mengatakan bahawa motosikal keluaran Demak tidak berkualiti. Namun itulah realitinya apabila maklumat yang tersebar dari mulut ke mulut seringkali memberikan komen yang agak negatif mengenai kualiti motosikal keluaran Demak. Apa pun, motosikal keluaran Demak sememangnya dijual pada harga mampu milik.

Demak telah berusaha sebaik mungkin untuk menjadi antara pengeluar motosikal berjenama tempatan yang berjaya, namun apakan daya, mereka gagal jua akhirnya. Kegagalan Demak sebagai sebuah jenama yang sudah terkenal di pasaran tempatan sememangnya pahit untuk ditelan. Mungkin, hanya pemilik motosikal Demak sahaja yang lebih memahami.

Walaupun Demak sudah berkubur di Malaysia, namun hasil pemerhatian penulis mendapati Demak Sri Lanka ketika ini masih lagi beroperasi. Laman Facebook Demak Sri Lanka juga didapati masih dikemaskini seperti biasa. Adakah ini bermakna Demak akan bangkit semula selepas ini, atau mereka akan kembali dengan jenama baharu dengan strategi lebih ampuh?