Honda lancar CB300R 2019 untuk pasaran India


Untuk pasaran India, Honda Motorcycle & Scooter India Pvt. Ltd. baru-baru ini secara rasminya telah melancarkan model terbaharu Honda CB300R 2019. Model tersebut ditawarkan pada harga Rs. 2.41 lac, bersamaan RM13,776.02 mengikut kadar tukaran semasa.

Pilihan warna yang tersedia untuk model berkenaan ialah Matte Axis Gray Metallic dan Candy Chromosphere Red. Penghantaran kepada pelanggan dijadualkan bermula pada bulan Mac 2019. Honda CB300R ialah model CKD ketiga ‘Made in India’, dan merupakan model ‘Neo Sports Cafe’ kedua di pasaran India selepas CB1000R.

Honda CB300R yang tampil dengan gaya menarik ‘Neo Sports Cafe’ memiliki enjin 286cc (Liquid-cooled single cylinder) yang responsif dengan kotak gear enam kelajuan. Enjin tersebut menghasilkan kuasa maksimum 23.1kw @ 8,500rpm dengan tork 27.5Nm @ 7,500rpm.

Spesifikasi lain yang melengkapinya antaranya ialah kerangka baharu (new chassis comprised of tubular/pressed steel frame), fork USD 41mm, sistem brek ‘radial-mount 4-piston front caliper and floating disc’ dan penyerap hentak tunggal boleh laras. Spesifikasi lain termasuklah sistem lampu LED sepenuhnya, paparan LCD dan ABS berasaskan IMU.

Berat basah CB300R hanya 143kg dan ianya dibekalkan tangki bahan api 10 liter. Tahap ekonomi model tersebut mencapai 30.2km/liter (WMTC mode), membolehkannya merangkumi jarak perjalanan sejauh 300km dengan setangki penuh bahan api.