Honda CB650R 2019 tampil sebagai pilihan terbaharu jentera ‘Neo Sports Café’

Pada tahun lepas, Honda memperkenalkan empat buah model terbaharu dalam tema rekaan ‘Neo Sports Café’, iaitu Honda CB1000R, CB300R, CB250R dan CB125R. Kali ini bertempat di EICMA 2018 yang berlangsung dalam bulan November yang lalu di Milan, Itali, Honda memperkenalkan pula sebuah lagi model ‘Neo Sports Café’ terbaharu – Honda CB650R 2019.

Dengan kehadiran CB650R 2019 terbaharu ini, Honda secara tidak langsung telah menawarkan pilihan terkini model ‘Neo Sports Café’ yang lebih pelbagai kepada para peminat motosikal di seluruh dunia. Untuk pasaran Eropah, CB650R boleh didapati dalam pilihan warna Graphite Black, Candy Chromosphere Red, Matt Crypton Silver Metallic dan Matt Jeans Blue Metallic.

Untuk pasaran Jepun seperti mana yang disiarkan dalam artikel terdahulu, CB650R 2019 akan mula berada di pasaran negara matahari terbit itu mulai tarikh 15 Mac 2019. Untuk pasaran Malaysia, setakat ini Boon Siew Honda telah menawarkan model CB1000R dan CB250R, namun belum dapat dipastikan sama ada CB650R akan turut ditawarkan di sini.

Honda CB650R 2019 dikuasakan enjin 649cc dengan kuasa 70kW @ 12,000rpm dan tork 64Nm @ 8,500rpm. Ciri-ciri premium yang melengkapinya termasuklah 41mm Showa SFF USD fork, radial-mount four-piston brake calipers, Honda Selectable Torque Control (HSTC) dan assist/slipper clutch. Tangki minyaknya seluas 15.4 liter dengan berat 202 kg (kerb weight).

Untuk anda yang mahu melihat dengan lebih dekat rekaan dan aksi tunggangan CB650R, anda boleh saksikannya melalui gambar-gambar yang disiarkan di dalam galeri di bawah. Gambar-gambar tersebut menunjukkan unit Honda CB650R 2019 untuk pasaran Eropah.