Yamaha 125ZR Super Sport warna Kuning Diraja

Salah sebuah motosikal kapchai @ moped antara yang paling ikonik dan menjadi legenda di negara kita ialah Yamaha 125ZR Super Sport. Model ini dilengkapi enjin bersesaran 124.3cc (2-lejang, penyejukan udara, silinder tunggal, transmisi 6-kelajuan, klac tangan manual) dengan kuasa maksimum 12.8kW @ 8,000rpm dan tork puncak 16.1Nm @ 7,500rpm.

Antara ciri-ciri dan spesifikasi lain yang melengkapi 125ZR termasuklah penghidup tendang, fork depan teleskopik, suspensi belakang monoshock dengan lengan buai, sistem brek cakera depan dan belakang, tangki bahan api dengan kapasiti 5.5 liter, saiz tayar depan 70/90-17, saiz tayar belakang 80/90-17, rim roda aloi sporty, berat basah 106 kilogram, dan rekaan yang sangat sporty.

Sekitar pertengahan tahun 2016, Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) telah memperkenalkan Yamaha 125ZR Super Sport berwarna kuning, lebih popular di kalangan peminat dengan nama Kuning Diraja atau Royal Yellow. Warna tersebut menggantikan warna hitam, namun pilihan warna biru dan merah masih kekal ditawarkan.

Pada tahun 2017, edisi lebih istimewa iaitu Yamaha 125ZR Special Limited MotoGP Edition telah diperkenalkan sebagai penutup tirai untuk model tersebut sebelum pengeluarannya ditamatkan. Buat masa sekarang, laman sesawang rasmi HLYM tidak lagi memaparkan model 125ZR, walaupun masih terdapat unit-unit motosikal berkenaan di jual di pasaran ketika ini.

Selepas pengeluaran 125ZR ditamatkan, tiada lagi peluang untuk peminat motosikal tempatan memiliki sebuah jentera dua lejang yang sporty, berprestasi dan laju. Mungkin hanya Modenas Dinamik 120 sahaja sebagai pilihan terakhir yang ada ketika ini. Yamaha 125ZR Kuning Diraja akan kekal menjadi legenda motosikal dua lejang terhebat di zamannya.