Yamaha MT-25 dan MT-03 di pasaran Jepun terima warna baharu untuk tahun 2019

Yamaha hari ini mengumumkan dua model keluarannya Yamaha MT-25 dan Yamaha MT-03, akan menerima pilihan dua warna baharu di pasaran Jepun mulai 1 Mac 2019. Warna baharu tersebut ialah Matt Light Gray Metallic yang digabungkan dengan rim roda berwarna Vermillion, bagi menyerlahkan lagi gaya sporty dan agresifnya.

Warna kedua ialah Deep Purpose Blue Metallic bersama-sama rim roda yang juga berwarna biru, menjadikan penampilan model tersebut lebih sporty dan cool. Model dengan warna sedia ada Matt Black akan diteruskan jualannya seperti biasa. Yamaha MT-25 dan MT-03 untuk pasaran Jepun dikeluarkan dari kilang PT. Yamaha Indonesia Motor Manufacturing (YIMM) yang terletak di negara Indonesia.

Yamaha MT-25 2019 dikuasakan enjin berkapasiti 249cc, manakala Yamaha MT-03 dikuasakan enjin 320cc. Menurut Yamaha, kedua-dua model menempa populariti dikalangan penunggang muda sebagai model permulaan di dalam siri MT. Harga untuk kedua-duanya masing-masing ialah 534,600 Yen dan 567,000 Yen, bersamaan RM19,826.44 dan RM21,028.05 (mengikut kadar tukaran semasa).