SYM Star SR 170 (ABS) 2019 dilancarkan di pasaran Vietnam, enjin 174.5cc dengan sistem brek ABS


Jika di pasaran Malaysia kita mempunyai SYM VF3i dengan enjin 183cc, di pasaran Vietnam terdapat sebuah model dengan enjin 174.5cc, dikenali dengan nama SYM Star SR 170 (ABS). Malah lebih hebat model tersebut dilengkapi dengan sistem brek ABS.

SYM Star SR 170 (ABS) model tahun 2019 itu secara rasminya diperkenalkan di pasaran Vietnam pada pertengahan Disember 2018, dan ditawarkan pada harga jualan sebanyak 49,900,000 VND, bersamaan RM8,755.43 mengikut kadar tukaran semasa.

Model moped yang mempunyai rekaan sporty itu dilengkapi enjin 174.5cc dengan padanan gear 6-kelajuan (1-N-2-3-4-5-6) dan klac tangan manual, bersama-sama sistem sejukan cecair dan sistem suntikan bahan api elektronik EFI. Kuasa yang dihasilkan mencapai 11.2kW @ 8,500rpm dengan tork maksimum 13.6Nm @ 7,500rpm.

Sistem pemberhentian SYM Star SR 170 (ABS) dilaksanakan dengan selamat oleh brek cakera depan berdiameter 250mm dengan ABS, manakala brek belakang dilengkapi cakera 200mm. Dua pilihan warna ditawarkan iaitu Black Red dan Dark Blue.

Ciri-ciri lain yang melengkapi model tersebut termasuklah tangki bahan api seluas 6.5 liter, berat kering 130 kilogram, tayar depan berukuran 90/80-17, tayar belakang berukuran 120/70-17, rim roda aloi aluminium dengan rekaan 5 bilah, suspensi belakang monoshock dan paparan meter digital dengan skrin LCD.

Reka bentuk SYM Star SR 170 (ABS) mempunyai persamaan dengan reka bentuk SYM VF3i, namun tidak dapat dipastikan kenapa SYM Vietnam tidak menawarkan terus SYM VF3i yang mempunyai kapasiti enjin lebih besar dan ditambah sistem brek ABS.