Honda CB500X 2019 diperkenalkan untuk pasaran Eropah

Bertempat di EICMA 2018 yang berlangsung di Milan, Itali dalam bulan November yang lalu, Honda telah memperkenalkan trio motosikal dalam kelas 500c iaitu Honda CBR500R, Honda CB500F dan Honda CB500X. Ketiga-tiga model untuk pasaran tahun 2019 itu telah menerima beberapa kemaskini baharu termasuk penampilan terkini.

Berbanding Honda CBR500R 2019 yang merupakan model dalam kategori supersport dan Honda CB500F 2019 sebagai model dalam segmen naked, Honda CB500X merupakan sebuah model kembara (adventure) untuk perjalanan dalam pelbagai situasi termasuk di laluan mencabar dan sukar terutamanya di kawasan luar bandar.

Antara yang baharu untuk CB500X bagi model tahun 2019 ini termasuklah cermin penghadang angin yang dinaiktaraf untuk lebih perlindungan dan keselesaan. Fork depan jenis preload-adjustable telescopic 41 mm pula kini menampilkan tambahan 10 mm travel kepada 150 mm, dan seterusnya diikuti oleh travel suspensi belakang yang ditingkatkan daripada 118 mm kepada 135 mm. Suspensi monoshock belakang juga telah digantikan dengan suspensi baharu yang mempunyai spesifikasi lebih tinggi.

Selain itu, rim roda 17 inci depan kini digantikan dengan rim berdiameter 19 inci, seterusnya dipadankan tayar dengan saiz 110/80-R19 (trail-pattern tyre). Roda belakang menggunakan tayar 160/60-R17. Sistem brek ABS merupakan ciri standard, disempurnakan oleh cakera depan 310 mm dengan kaliper dua piston dan cakera belakang 240 mm dengan kaliper satu piston.

Sama seperti CBR500R dan CB500F, CB500X dilengkapi enjin 471cc (liquid-cooled, parallel twin) yang menghasilkan kuasa maksimumĀ 35kW @ 8,600rpm dengan tork puncakĀ 43Nm @ 6,500rpm. Menurut Honda, kuasa dan tork enjin CB500X 2019 ini bertambah sebanyak 4% berbanding model terdahulu, hadir di putaran enjin di antara 3,000 – 7,000rpm. Selain ekzos dengan dual-exit muffler baharu yang menambahbaik bunyinya, enjin CB500X juga kini dilengkapi sistem Assist/Slipper Clutch.

Tidak dilupakan, instrumen LCD baharu kini memaparkan indikator Gear Position and Shift Up, dan lampu indikator tersebut merupakan lampu LED bagi disesuaikan dengan semua sistem lampu depan dan belakang yang juga merupakan LED. Sebagai tambahan, unit GPS boleh dipasang di atas instrumen LCD baharu tersebut.

Honda CB500X 2019 dibekalkan tangki minyak dengan kapasiti 17.5 liter, dengan perjalanan yang boleh dicapai dikatakan menjangkau sekitar 500 km, sesuai untuk penjelajahan jarak jauh. Berat jentera tersebut ialah 197 kilogram (kerb weight), dengan ketinggian tempat duduk 830 mm dan jarak kelegaan bumi 180 mm.

Untuk pasaran Eropah, tiga pilihan warna tersedia iaitu Grand Prix Red, Matt Gunpowder Black Metallic dan Pearl Metalloid White. Untuk pasaran Malaysia, ketika ini Boon Siew Honda menawarkan CB500X 2018 pada harga permulaan RM32,499.00. Dijangkakan CB500X 2019 ini juga akan dilancarkan di sini dalam tahun ini.