Honda CB500F 2019 diperkenalkan untuk pasaran Eropah

Bertempat di EICMA 2018 yang berlangsung dalam bulan November yang lalu, salah sebuah model terbaharu yang dipamerkan oleh Honda ialah CB500F model tahun 2019. Model naked tersebut kini tampil dengan gaya rekaan baharu yang agresif, bermula dari bahagian hadapan sehinggalah ke bahagian belakang.

Honda CB500F dilancarkan buat pertama kali pada tahun 2013 bersama-sama model CB500R dan CB500X. Untuk model tahun 2019 ini, antara yang baharu ialah paparan instrumen LCD yang kini didatangkan ciri petunjuk Shift Up and Gear Position, yang mana lampu petunjuknya adalah LED, sama seperti sistem lampu yang lain.

Menurut Honda lagi, CB500F kini menawarkan 4% lebih kuasa dan tork di antara putaran enjin 3,000 – 7,000rpm, berbanding model terdahulu. Masih dikuasakan enjin berkapasiti 471cc (liquid-cooled, parallel twin), kuasa yang dihasilkan adalah sebanyak 35kW @ 8,600rpm dengan tork maksimum 43Nm @ 6,500rpm. Sistem transmisinya adalah 6-kelajuan.

Tidak dilupakan enjinnya kini menerima sistem Assist/Slipper Clutch. Sistem ekzos CB500F juga telah dikemaskini apabila menerima dual-exit muffler baharu yang menambahbaik bunyinya. Kerangka diamond-tube keluli berdiameter 35 mm tidak berubah, ringan dan kukuh. Bentuk dan posisi enjin yang dipasangkan pada kerangka tersebut telah mengurangkan getaran enjin untuk tunggangan yang lebih selesa.

Tempat duduknya kekal rendah 785 mm, memudahkan pengendalian, yang mana posisi neutralnya memberikan keselesaan untuk semua ketinggian penunggang. CB500F dibekalkan tangki minyak 17.1 liter, digabungkan dengan enjin yang cekap dan ekonomi membolehkan jarak perjalanan sekitar 480 kilometer dicapai.

Untuk kestabilan dan respon yang lebih baik, suspensi depan CB500F merupakan preload-adjustable telescopic 41 mm, bersama-sama penyerap hentak tunggal baharu di bahagian belakang. Rim aluminium yang ringan di bahagian depan berukuran 17 inci dengan lebar 3.5 mm dipasangkan tayar 120/70-17, manakala untuk bahagian belakang, lebarnya ialah 4.5 inci dengan padanan tayar 160/60-17.

Untuk prestasi keselamatan, CB500F dilengkapi sistem brek cakera 320 mm dengan kaliper dua piston di bahagian depan, manakala bahagian belakangnya disempurnakan oleh sistem brek cakera 240 mm dengan kaliper satu piston. ABS merupakan ciri standard yang turut melengkapi sistem brek tersebut.

Untuk pasaran Eropah, Honda CB500F 2019 boleh didapati dalam pilihan warna Grand Prix Red, Matt Gunpowder Black Metallic, Pearl Metalloid White dan Candy Energy Orange. Untuk pasaran Malaysia, CB500F 2018 telah berada di pasaran pada harga permulaan RM29,588.00. Ini bermakna CB500F 2019 ini juga akan turut dilancarkan di pasaran Malaysia oleh Boon Siew Honda tidak lama lagi.