Benelli RFS150i akan dilancarkan di pasaran Vietnam

Benelli RFS150i buat pertama kalinya dilancarkan di pasaran Malaysia dalam bulan April 2017, dan selepas itu ianya diperkenalkan ke beberapa pasaran lain termasuklah pasaran China, Lubnan dan Algeria. Terkini, Benelli RFS150i bakal dilancarkan di pasaran Vietnam bagi memeriahkan lagi segmen motosikal di negara tersebut.

Benelli RFS150i merupakan sebuah motosikal dalam segmen moped, dilengkapi enjin bersesaran 150cc (Liquid-cooled, Single cylinder, SOHC, 4-valves, 3-Spark) dengan padanan transmisi 6-kelajuan. Jumlah kuasa dan tork yang dihasilkan mencapai angka 13.14hp @ 9,000rpm dan 13Nm @ 7,000rpm. Untuk pasaran Malaysia, turut ditawarkan ialah Benelli RFS150i Limited Edition, terhad 5,000 unit sahaja.

Antara ciri-ciri menarik yang dibekalkan untuk Benelli RFS150i termasuklah fork depan terbalik (upside down telescopic forks, travel 88 mm) dan penyerap hentak belakang tunggal (single shock absorver, travel 27 mm). Sistem brek cakera depan (single 240 mm disc with 2-piston caliper) dan belakang (single 220 mm disc with 1-piston caliper) melengkapkan tahap pemberhentian moped tersebut lebih selamat.

Dari segi populariti, Benelli RFS150i bersaing dengan model Yamaha Y15ZR, Honda RS150R dan SYM VF3i di pasaran Malaysia. Untuk pasaran Vietnam, pesaing yang sedang menanti Benelli RFS150i sudah tentulah dua model yang sangat popular di pasaran sana iaitu Yamaha Exciter 150 Version 2.0 dan Honda Winner 150.