Yamaha MT-03 2019 diperkenalkan untuk pasaran Eropah


Yamaha MT-03 model tahun 2019 untuk pasaran Eropah diperkenalkan dalam bulan September 2018, dan berada di pasaran rantau tersebut secara rasmi mulai bulan Disember tahun yang sama. Untuk pasaran ASEAN, Yamaha MT-03 turut ditawarkan di pasaran Thailand dan Vietnam, manakala pasaran Indonesia menerima model MT-25.

Yamaha MT-03 2019 untuk pasaran Eropah hadir dengan pilihan warna baharu yang menarik seperti kelabu dengan rim roda berwarna oren, biru dan juga hitam. Menurut Yamaha, MT-03 hadir sebagai sebuah model versatile, ringan, kompak dan selesa. Ianya sesuai untuk penunggang baharu atau sedia ada, dengan ciri-ciri yang selesa seperti kusyen yang rendah dan mudah diakses dan posisi tunggangan menegak.

Melihat kepada spesfikasi teknikalnya, MT-03 dilengkapi enjin bersesaran 321cc (liquid-cooled, 4-stroke, DOHC, 4-valves) dengan padanan transmisi 6-kelajuan, seterusnya menghasilkan kuasa maksimum 42.0PS @ 10,750rpm dengan tork puncak 29.6Nm @ 9000rpm. Suspensi depannya dibekalkan fork telescopic dan lengan ayun belakang bersama-sama penyerap hentak Monocross untuk lebih kestabilan.

Untuk keseimbangan optimum kekuatan dan kelincahannya, MT-03 dilengkapi rim aluminium ringan dengan rekaan 10 bilah berdiameter 17 inci, yang kemudiannya dipasangkan tayar berukuran 110/70-17 di bahagian depan dan 140/70-17 di bahagian belakang. Paparan instrumen bergaya pula memberikan maklumat berguna daripada tachometer analog, digital speedometer, gear position indicator, fuel gauge, water temperature gauge, jam dan dua tripmeter termasuklah oil change indicator.

Untuk keselamatan, sistem brek depan menampilkan cakera terapung 298 mm dengan dua pot kaliper, sementara brek belakang dipasangkan cakera 220 mm dan pot kaliper tunggal. Dengan ABS sebagai ciri standard, penunggangnya akan lebih berkeyakinan dalam situasi yang memerlukan. Tangki minyaknya mampu memuatkan 14 liter bahan api, dan berat basah jentera ini hanya 168 kg (including full oil and fuel tank).

Yamaha MT-03 2019 mempunyai rekaan lampu depan minimalis yang digabungkan dengan lampu posisi LED, manakala lampu belakang LED menyerlahkan lagi rekaan kompak ekornya yang moden dan sporty. Untuk pasaran UK, MT-03 ditawarkan pada harga permulaan £4,999.00, bersamaan RM26,464.89 mengikut kadar semasa.