Modenas Kriss MR2 di pasaran, harga dari RM3,890.00

Motosikal dan Enjin Nasional (MODENAS), anak syarikat DRB-HICOM Bhd, secara rasminya melancarkan model terbaharu Modenas Kriss MR2 pada 18 Mei 2017 yang lalu. Model tersebut merupakan kesinambungan kepada model Kriss MR1, motosikal kapcai yang dijual pada harga mampu milik untuk rakyat Malaysia.

Modenas Kriss MR2 dilengkapi enjin empat lejang 110cc dengan kotak gear empat kelajuan, dengan kuasanya mencapai 6.2kW @ 7,500rpm. Enjin tersebut mematuhi piawaian Euro 3 yang lebih mesra alam sekitar. Ciri-ciri lain yang melengkapi Kriss MR2 termasuklah tangki minyak 4.5 liter, ruang simpanan barang dan perkakasan seluas 6.6 liter di bawah tempat duduk, serta rekaan lampu depan dan belakang yang lebih sporty.

Modenas Kriss MR2 dibekalkan sistem brek cakera di bahagian depan, manakala brek jenis drum di bahagian belakang melengkapkan sistem pemberhentiannya. Sewaktu ianya dilancarkan dahulu, Kris MR2 ditawarkan pada harga berpatutan dari RM3,890 seunit. Tiga pilihan warna yang menarik disediakan iaitu kuning, biru dan juga merah.