Honda CBR650R 2019 tampil lebih agresif dan berprestasi


Model sports touring kelas pertengahan dengan fairing penuh Honda CBR650F, secara rasminya dilancarkan pada tahun 2014 bersama-sama model naked CB650F. Hadir dengan enjin 4-silinder yang bertenaga, serta tampil dengan rekaan yang sporty.

Pada tahun 2017, CBR650F telah menerima gaya rekaan baharu lebih tajam, peningkatan prestasi enjin, fork depan Showa Dual Bending Valve dan caliper brek Nissin yang disemak semula. Untuk tahun 2019, evolusi berterusan di mana CBR650F kini telah menjadi CBR650R, dengan sentuhan gaya rekaannya kini diambil secara terus dari model CBR1000RR Fireblade 2018.

Menurut Honda, transformasi yang dijalani CBR650R telah menjadikannya salah satu model unik yang jarang didapati, memberikan kepuasan, keseronokan dan adrenalin yang sama seperti jentera RR, namun kekal praktikal dengan kos yang munasabah, menjadikannya pilihan yang sesuai sebagai pengangkutan harian dan hujung minggu.

Honda CBR650R 2019 kini 6 kg lebih ringan berbanding CBR650F (model yang digantikannya), dengan posisi tunggangan lebih sporty menerusi kedudukan handlebar yang dipasang semula 30mm ke hadapan, dan tempat pemijak diubah ke belakang dan lebih tinggi. Kesemua sistem lampu adalah LED dan instrumen LCD baharu kini turut memaparkan petunjuk Gear Position and Shift Up.

Tambahan terbaharu lain termasuklah fork Showa SFF USD 41mm, radial-mount empat piston kaliper dan cakera terapung berkembar di bahagian roda depan, serta rim roda aluminium rekaan semula. ABS dua saluran merupakan ciri standard. Intake dan ekzos baharu termasuk beberapa perubahan di bahagian enjin telah membolehkan kuasanya meningkat sebanyak 5%, serta tork lebih kuat yang disampaikan pada putaran enjin pertengahan. RPM juga meningkat kepada 12,000rpm, tambahan 1,000rpm.

Untuk model tahun 2019 ini, Assist/Slipper Clutch merupakan ciri baharu bersama-sama Honda Selectable Torque Control (HSTC). Untuk mengendalikan daya tarikan roda belakang, HSTC juga boleh dimatikan bergantung kepada kehendak penunggang.

Honda CBR650R 2019 dikuasakan enjin 649cc (Liquid-cooled 4-stroke 16-valve DOHC inline-4 cylinder), digandingkan bersama-sama transmisi 6-kelajuan, dengan hamburan kuasa maksimum 70kW @ 12,000rpm dan tork puncak 64Nm @ 8,500rpm. Tangki bahan apinya berkapasiti 15.4 liter, manakala berat jentera 207 kg (kerb weight).

Dari segi penampilan keseluruhan, sememangnya CBR650R 2019 ini tampil lebih sporty dan agresif berbanding model CB650F 2018 yang digantikannya. Untuk pasaran Malaysia, CB650F 2018 dijual pada harga RM44,449.00, jadi sudah semestinya CBR650R 2019 ini akan turut ditawarkan oleh Boon Siew Honda tidak lama lagi.