Ducati XDiavel 2019 terima warna baharu Matt Liquid Concrete Grey

Untuk pasaran tahun 2019, model cruiser berkuasa tinggi Ducati XDiavel telah menerima warna baharu Matt Liquid Concrete Grey. Ianya sebuah nama yang agak unik namun dipendekkan cerita ianya adalah warna kelabu sebam.

Ducati XDiavel 2019 dengan warna Matt Liquid Concrete Grey telah dipertontonkan secara rasmi kepada umum di pameran motosikal Intermot 2018 dan EICMA 2018. Dari segi spesifikasi teknikal, XDiavel dikuasakan enjin berkapasiti 1,262cc dengan kuasa maksimum 152hp @ 9,500rpm dan tork puncak 126Nm @ 5,000rpm.

Kelengkapan standard yang melengkapi XDiavel antaranya seperti Riding modes, Ducati Safety Pack (Bosch cornering ABS + DTC), DPL (Ducati Power Launch), RbW, Cruise control, Hands-free, Full-led lighting, Backlit handlebar switches dan tempat duduk berwarna coklat gelap baharu.

Berat keseluruhan Ducati XDiavel ialah 220 kilogram, dengan ketinggian tempat duduknya berada pada paras 755 mm. Selang servis dan penyelenggaraannya menjangkau 9,000 batu atau 12 bulan, cukup lama dan memudahkan pemiliknya.