Yamaha MT-125 2019 diperkenalkan untuk pasaran Eropah

Siri Yamaha MT dengan tema Dark Side of Japan hadir dengan beberapa buah model naked yang cukup berjaya dan popular di serata dunia, terutamanya di pasaran Eropah. Bermula dengan model MT-125, ianya diikuti oleh model MT-25, MT-03, MT-07, MT-09, MT-09 SP, MT-10, MT-10 Tourer Edition dan MT-10 SP. 

Untuk pasaran Eropah, Yamaha MT-125 merupakan model eksklusif, diperkenalkan sejak tahun 2014 dan kini telah sampai kepada model tahun 2019. Dalam bulan September 2018 yang lalu, MT-125 hadir dalam pilihan warna kelabu, biru dan hitam, bersama-sama spesifikasi serba lengkap untuk model di dalam segmennya.

Yamaha MT-125 2019 dilengkapi enjin bersesaran 125cc (single cylinder, 4-stroke, liquid-cooled, SOHC, 4-valves) dengan padanan transmisi 6-kelajuan, menawarkan kuasa maksimum 15.0PS @ 9,000rpm dan tork puncak mencapai angka 12.4Nm @ 8,000rpm. Enjin tersebut turut dilengkapi sistem suntikan bahan api elektronik.

MT-125 mempunyai kerangka Steel Deltabox, suspensi depan jenis terbalik (upside-down telescopic fork), lengan ayun belakang dengan suspensi monoshock (link type suspension), sistem brek cakera depan berdiameter 292mm dan belakang 230mm, serta roda depan dengan saiz 100/80-17 dan roda belakang 130/70-17. Bagi model MT-125 A di pasaran UK, ianya juga dilengkapi dengan sistem brek ABS.

Tidak dilupakan, MT-125 hadir dengan paparan meter digital (high-tech LCD instrument panel) yang memberi pelbagai maklumat berguna termasuklah paparan Shift Light dan Digital Speedometer. Untuk pasaran UK, Yamaha MT-125 2019 boleh dimiliki pada harga bermula dari £4,349.00 (RM23,173.86 mengikut kadar tukaran semasa).