Honda PCX Electric tiba di pasaran Indonesia

Honda PCX Electric diasaskan daripada model skuter popular Honda PCX, dengan perbezaan utamanya ialah penggunaan sistem penjana kuasa untuk kedua-dua model. Sesuai dengan namanya, PCX Electric dikuasakan tenaga elektrik sepenuhnya berbanding PCX yang digerakkan oleh sumber bahan api konvensional.

Setakat ini di pasaran Jepun mulai November 2018, Honda telah menawarkan PCX Electric untuk disewa oleh syarikat dan perusahaan, dan penggunaan motosikal elektrik itu akan dipantau oleh pihak Honda untuk mendapatkan data-data berguna, sebelum ianya masuk ke pasaran umum untuk kegunaan pengguna motosikal biasa.

Baru-baru ini pada 31 Januari 2019, PT Astra Honda Motor (AHM) secara rasminya melancarkan Honda PCX Electric untuk pasaran Indonesia, dan ianya turut menggunakan konsep sewaan kepada syarikat-syarikat perniagaan dan perusahaan. Penyewaan motosikal elektrik itu akan dilakukan oleh pihak ketiga yang dilantik oleh AHM, dan akan bermula dalam suku pertama 2019 di beberapa bandar besar.

Menurut AHM, Honda PCX Electric mampu melakukan perjalanan sekitar 69 kilometer dengan sekali cas penuh (berdasarkan ujian kelajuan 40 km/j), melalui penggunaan dua unit bateri mudah alih Honda Mobile Power Pack. Untuk lebih kemudahan, terdapat dua cara untuk mengecas semula Honda Mobile Power Pack. Pertama ialah dengan menggantikan (swap) unit bateri kosong dengan unit bateri yang telah dicas, atau menggunakan soket pengecasan dari bangunan atau dari rumah.

Selain itu, AHM telah menyediakan pelbagai fasiliti dan kemudahan untuk menyokong perniagaan motosikal elektrik. Antaranya ialah menyediakan pusat servis untuk PCX Electric yang memerlukan penggantian bateri. Dalam situasi kecemasan, pusat bantuan yang beroperasi 7 x 24, bantuan kecemasan di jalan raya (Honda Care) dan servis lawatan, bersiap-sedia untuk memberikan perkhidmatan maksimum.