Honda CBR500R 2019 terima kemaskini baharu

Honda CBR500R mula dilancarkan pada tahun 2013, bersama-sama model naked CB500F dan model bergaya pengembaraan CB500X. Untuk model tahun 2019, CBR500R kini telah menerima kemaskini baharu dari segi spesifikasi dan kosmetik, menjadikan penampilan terkininya lebih tajam, sporty dan bertenaga.

Dilengkapi enjin berkapasiti 471cc (8-valve, liquid-cooled, parallel twin) yang digandingkan dengan transmisi 6-kelajuan, CBR500R 2019 menghasilkan kuasa maksimum 35kW @ 8,600rpm dengan tork setinggi 43Nm @ 6,500rpm. Untuk tahun 2019, Assist/Slipper Clutch merupakan salah satu ciri baharu untuk model tersebut.

Selain itu, sistem suspensi belakang juga telah dinaiktaraf, termasuk kehadiran lampu LED sepenuhnya, paparan instrumen LCD lebih moden yang memaparkan posisi dan petunjuk penukaran gear, serta ekzos baharu dual-exit untuk bunyi yang lebih mewah. Dengan tangki bahan api seluas 17.1 liter, tahap ekonominya boleh menjangkau sehingga 480 kilometer. Berat keseluruhan ialah 192 kilogram (kerb weight).

Dari segi keselamatan, CBR500R dibekalkan sistem brek ABS sebagai ciri standard, bersama-sama cakera depan tunggal 320mm dan two-piston brake caliper, yang kemudiannya dipadankan dengan cakera tunggal belakang 240mm dan single-piston caliper. Ukuran tayar depannya ialah 120/70-ZR17 dengan lebar 3.5 inci, manakala ukuran tayar belakang 160/60-ZR17 dengan lebar 4.5 inci, masing-masing dipakaikan kepada rim roda aluminium ringan (multi-spoke cast aluminium) 17 inci.

Untuk pasaran Eropah, Honda CBR500R 2019 didatangkan dengan pilihan warna seperti Matt Axis Grey Metallic, Grand Prix Red dan Pearl Metalloid White. Untuk pasaran Malaysia, CBR500R dijual oleh Boon Siew Honda pada harga RM29,888.00, namun belum ada maklumat bilakah versi terbaharu 2019 ini akan dilancarkan.