Yamaha Exciter 150 Doxou 2019 untuk pasaran Vietnam

Vietnam merupakan negara ASEAN terawal yang menerima kehadiran model Yamaha Exciter 150 Version 2.0, yang kemudiannya diikuti oleh pasaran Indonesia dengan model Yamaha MX King 150 Version 2.0. Untuk pasaran Malaysia, Yamaha Y15ZR Version 2.0 dijangka akan dilancarkan tidak lama lagi.

Untuk pasaran Vietnam, pada Disember 2018 yang lalu Yamaha telah memperkenalkan Yamaha Exciter 150 Doxou 2019, yang tampil dengan gabungan warna dan grafik unik. Turut dilancarkan ialah sebuah lagi model iaitu Yamaha NVX 155 Doxou 2019. Untuk makluman, pasaran Indonesia turut menawarkan Yamaha MX King 150 Doxou 2019.

Menurut Yamaha Motor Vietnam, Doxou di dalam bahasa Jepun bermaksud ‘kreatif’ dan ‘mendahului trend’, jadi versi Doxou ini sasarannya ialah golongan muda yang menjalani kehidupan penuh moden dan bergaya. Warna yang melengkapinya ialah biru dan pink cerah, gabungan yang sememangnya mudah menarik perhatian ramai.

Dari segi spesifikasi teknikal, Yamaha Exciter 150 Doxou ini masih sama seperti model Exciter 150 yang lain, cuma penampilannya sahaja yang berbeza. Harga yang ditawarkan untuk pasaran Vietnam adalah sebanyak 47,990,000 VND, bersamaan RM8,457.29 mengikut kadar tukaran semasa.