Model pengembaraan KTM 790 Adventure 2019 dan KTM 790 Adventure R 2019 diperkenalkan di EICMA 2018

Bertempat di EICMA 2018 yang berlangsung di Milan, Itali dalam bulan November tahun lepas, KTM telah memperkenalkan dua model pengembaraan terbaharunya, KTM 790 Adventure dan KTM 790 Adventure R model tahun 2019.

Kedua-dua model dilengkapi enjin 799cc (2-cylinder, 4-stroke, parallel twin) dengan transmisi enam kelajuan (6-speed sequential gearbox), menghasilkan kuasa maksimum 95hp dan tork 88Nm. Untuk pengembaraan lasak dan jarak jauh, tangki minyak 20 liter yang dibekalkan dikatakan mampu ditunggang sehingga 400 km, manakala selang servis setiap 15,000 km memberi lebih kemudahan kepada pemiliknya.

Perbezaan utama di antara 790 Adventure dan Adventure R dapat dilihat pada kelengkapan suspensi travel, yang mana 790 Adventure memiliki unit 200mm manakala Adventure R dipasangkan unit 240mm, kedua-duanya untuk bahagian depan dan belakang. Perbezaan juga dapat dilihat pada penggunaan jenis tayar.

Di bahagian kokpit, ianya dilengkapi dengan paparan instrumen TFT berukuran 5 inci yang memaparkan pelbagai maklumat berguna selain ianya mudah dibaca dalam pelbagai keadaan. Seterusnya terdapat sistem bantuan elektronik seperti MTC (Motorcycle Traction Control), Cornering ABS, Offroad ABS dan Offroad Ride Mode.

KTM 790 Adventure 2019 hadir dalam dua pilihan warna, oren dan putih, manakala KTM 790 Adventure R 2019 hanya tersedia dalam pilihan warna tunggal oren. Kedua-dua model tersebut mempunyai berat kering 189 kg.

Galeri : 2019 KTM 790 Adventure

Galeri : 2019 KTM 790 Adventure R