Model kapcai baharu Ottimo VIZ110 dilancarkan untuk pasaran Malaysia, harga permulaan RM4,288.00

Ottimo Technologies Sdn. Bhd. merupakan sebuah jenama baharu pengeluar motosikal, di mana syarikat tersebut ketika ini berpengkalan di sebelah utara tanah air, lebih tepat lagi kilang mereka terletak di negeri Kedah Darul Aman.

Produk pertama syarikat tersebut ialah sebuah motosikal kapcai yang diberi nama Ottimo VIZ110, dilengkapi enjin empat lejang berkapasiti 110cc yang mematuhi piawaian Euro 3, seterusnya dilengkapi transmisi automatik 4-kelajuan. Enjin tersebut menawarkan kuasa maksimum 6.7hp @ 8,000rpm dengan tork 6.9Nm @ 6,000rpm.

Ciri-ciri lain yang melengkapi VIZ110 termasuklah sistem penghidup tendang dan eletrik, brek cakera depan, tangki minyak 3.6 liter, ruang simpanan barang-barang di bawah kusyen seluas 6 liter, USB port, berat 98 kg, serta ditawarkan dalam pilihan warna merah dan biru. Jaminan ditawarkan 2 tahun atau 20,000 km perbatuan.

Paling menarik perhatian sudah tentulah rekaan bahagian depan VIZ110 ini yang mirip model popular Honda RS150R. Mungkin ianya suatu kebetulan sahaja. Untuk anda yang berminat, Ottimo VIZ110 dijual pada harga permulaan RM4,288.00.

Sumber gambar dari Majalah Roda-Roda Facebook.