Kawasaki Ninja 125 dan Z125 2019 diperkenalkan untuk pasaran Eropah

Dalam bulan September 2018 yang lalu, Kawasaki telah memperkenalkan dua model terbaharu dalam kategori 125cc – Kawasaki Ninja 125 dan Kawasaki Z125, kedua-duanya bakal berada di pasaran Eropah mulai tahun 2019.

Untuk pasaran Eropah, sememangnya pengeluar motosikal di rantau sana masing-masing mempunyai motosikal supersport dan naked dalam kelas 125cc, seperti mana Yamaha dengan model YZF-R125 dan MT-125, Suzuki dengan GSX-R125 dan GSX-S125, Honda dengan CBR125R dan CB125R, dan Aprilia dengan model RS125.

Dengan pengenalan Ninja 125 dan Z125, bermakna para peminat motosikal di pasaran Eropah ketika ini mempunyai lebih banyak pilihan, terutamanya dari kalangan penunggang muda yang baru berjinak-jinak dengan dunia motosikal. Namun bagi Kawasaki, persoalannya mana satu pilihan tepat – Ninja 125 atau Z125?

Kawasaki Ninja 125 dan Z125 masing-masing dikuasakan enjin bersesaran 125cc (Liquid-cooled, 4-stroke Single, DOHC, 4 valves, Fuel injection) dengan padanan transmisi 6-kelajuan. Keluaran kuasa daripada enjin tersebut mencapai 15PS @ 10,000rpm dengan tork puncak 11.7Nm @ 7,700rpm.

Kedua-dua jentera memiliki kerangka trellis (tubular diamond, steel), membolehkan binaan yang ramping dalam pakej kompak untuk kawalan yang lebih mudah. Ninja 125 memiliki berat 148 kg manakala Z125 memiliki berat 146 kg. Kapasiti bahan api yang boleh diisi ialah 11 liter, sudah cukup memuaskan untuk tunggangan seharian.

Ninja 125 dan Z125 turut dibekalkan fork teleskopik di bahagian hadapan, termasuklah suspensi tunggal di bahagian belakang (Uni-Trak, gas-charged shock with adjustable preload). Aspek keselamatan memperlihatkan penggunaan brek cakera tunggal di bahagian roda depa dan belakang dengan caliper dual piston.

Ketinggian tempat duduk Ninja 125 berada pada paras 785 mm, manakala Z125 memiliki ketinggian tempat duduk 815 mm. Dari segi penampilan keseluruhan, rekaan Ninja 125 dan Z125 ini kelihatan begitu sporty dan bergaya sekali, mengambil inspirasi daripada model-model lain dalam keluarga Kawasaki yang lebih besar.

Galeri : 2019 Kawasaki Ninja 125

Galeri : 2019 Kawasaki Z125