Honda pamer dua model konsep 125cc di EICMA 2018

Antara yang menarik di EICMA 2018 yang berlangsung di Milan, Itali dalam bulan November yang lepas ialah pameran pelbagai model motosikal konsep. Honda turut tidak ketinggalan apabila mempamerkan dua model konsep 125cc yang cukup menarik, dikenali dengan nama Honda CB125M dan Honda CB125X.

Kedua-dua model tersebut dibawakan oleh pusat R&D Honda di Rom, menggunakan platform model CB125R 2018 sebagai asasnya. Menurut Honda, pasaran motosikal segmen 125cc menunjukkan peningkatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan pasaran Eropah menyaksikan pertumbuhan sebanyak 25 peratus pada 2018.

Model konsep Honda CB125M dibangunkan sebagai sebuah mesin jalanan dalam warna merah menawan, dengan petunjuk rekaannya lebih kepada sebuah model ‘super-motard’. Sementara itu Honda CB125X yang tampil berwarna putih, secara jelas memberi fokus kepada model ‘X’ yang merujuk kepada fokus pengembaraan.

Setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada kedua-dua model konsep CB125M dan CB125X akan menjadi realiti pada masa akan datang. Namun sedikit sebanyak ianya memberi input berguna kepada Honda berdasarkan maklumbalas dari pengunjung.

Galeri : 2018 Honda CB125M Concept

Galeri : 2018 Honda CB125X Concept