Honda RS150R 2018 hadir dengan warna dan jalur baharu

Pada tarikh 2 Ogos 2018 yang lalu, Boon Siew Honda telah memperkenalkan Honda RS150R model tahun 2018 untuk pasaran Malaysia, yang kini hadir dengan pilihan warna dan jalur baharu yang lebih segar, sporty dan memikat.

Empat pilihan warna yang ditawarkan bersama-sama jalur grafik baharu itu ialah Hitam Mutiara Magellanic, Biru Mutiara Nightfall, Merah Candy dan Edisi Repsol. Untuk warna Edisi Repsol, sekali imbas ianya sama seperti edisi sebelumnya, namun terdapat beberapa perubahan yang menjadikan Edisi Repsol 2018 ini lebih menawan.

Mula dilancarkan pada tahun 2016, RS150R dilengkapi enjin 150cc (15.6PS @ 9,000rpm & 13.5Nm @ 6,500rpm) yang bukan sahaja berkuasa, malah cekap penggunaan bahan api dan rendah pengeluaran emisi. Ciri-ciri lain yang tersedia termasuklah lampu hadapan LED dan tangki minyak berkapasiti 4.5 liter.

Honda RS150R 2018 boleh dimiliki pada tanda harga asas RM7,999.00 untuk varian Standard (Hitam, Biru & Merah), manakala RS150R Edisi Repsol 2018 boleh dimiliki dengan harga RM8,299.00. Tempoh jaminan ialah 2 tahun atau 20,000km.

*Harga dengan 0% GST, tidak termasuk cukai jalan, insuran dan kos pendaftaran.