Ducati 1299 Panigale R Finale Edition 2019 – unit paling akhir tiba di bilik pameran

Dalam bulan November 2018 yang lalu, Ducati telah mengumumkan unit paling akhir model eksklusif Ducati 1299 Panigale R Finale Edition 2019, telah tiba ke bilik pameran dan ianya merupakan peluang terakhir untuk memiliki model bersejarah itu.

Ducati 1299 Panigale R Finale Edition diperkenalkan secara rasmi pada pertengahan tahun 2017, sebagai penghormatan kepada enjin legenda twin-cylinder yang telah mencapai banyak kejayaan untuk Ducati terutamanya dalam saingan World Superbike Championship. Hanya 1,299 unit sahaja dikeluarkan bersama-sama sijil pengesahan.

Menggunakan enjin 1299 Superleggera dengan pematuhan kepada piawaian Euro 4, kuasa maksimumnya mencapai 209hp @ 11,000rpm dengan tork puncak 142Nm @ 9,000rpm. Bekerjasama dengan Ducati Corse dalam talaan casis, telah membolehkan Final Edition memiliki berat hanya 179 kg, dengan padanan suspensi Öhlins.

Final Edition turut dipasangkan sistem ekzos Akrapovic binaan titanium sepenuhnya dengan high dual silencer, sofistikated dan ringan, sama seperti yang ada pada Panigale R yang baru saja tamat penyertaannya di dalam kejuaraan World Superbike.

Pakej elektronik menampilkan Bosch Inertial Measurement Unit (IMU) dan ianya dilengkapi dengan ABS Cornering, Ducati Wheelie Control (DWC) EVO, Ducati Traction Control (DTC) EVO dan Engine Brake Control (EBC). Sistem tersebut mempunyai tetapan lalai yang disambungkan kepada Riding Mode (Race, Sport and Wet), namun tetapan peribadi masih boleh dilakukan berdasarkan kemahuan penunggang.

Akhir sekali, penampilan Ducati 1299 Panigale R Finale Edition diperkemaskan dengan penggunaan warna dan grafik tricolour, yang dikatakan bakal mendapat status kultus di kalangan komuniti luas peminat enjin berkembar Ducati.