Boon Siew Honda lancar model ikonik Honda Monkey

Dalam bulan September 2018 yang lalu, Boon Siew Honda secara rasminya melancarkan model terbaharu Honda Monkey untuk pasaran Malaysia. Merupakan sebuah mini-bike bertaraf ikonik, Honda Monkey model tahun 2018 itu kini dijana enjin bersesaran 125cc bersama-sama pelbagai ciri moden.

Honda Monkey memiliki enjin empat lejang sejukan udara dengan satu silinder, menawarkan kuasa maksimum 9.4PS @ 7,000rpm dengan tork 10.5Nm @ 5,500rpm. Walaupun tampil dengan gaya retro, Honda Monkey padat dengan ciri-ciri moden antaranya seperti lampu LED depan dan belakang, meter digital LCD, ruang peralatan (tools keepers), sistem penggera & jawab kembali dan muffler ekzos di atas.

Honda Monkey turut dilengkapi sistem brek cakera di bahagian roda depan dan belakang, namun tidak dilengkapi ABS seperti mana yang ditawarkan di pasaran Jepun, Eropah dan USA. Pilihan warnanya ialah kuning, merah dan juga biru. Harganya sekitar RM13,999.00, menjadikannya sebuah model mini bertaraf premium.