Ducati Panigale V4 R 2019 diperkenalkan, model jalanan paling hampir dengan jentera WSBK

Dalam bulan November 2018 yang lalu bertempat di EICMA 2018, Ducati memperkenalkan model terbaharu Panigale V4 R 2019, sebuah model asas untuk perlumbaan dalam kategori WSBK, bermakna inilah jentera dengan spesifikasi perlumbaan paling hampir yang boleh dimiliki. 

Ducati Panigale V4 R padat dengan pelbagai teknologi yang diambil secara terus dari MotoGP, malah modifikasi yang dilakukan melangkaui batasan enjin dan talaan suspensi. Ianya termasuklah fairing yang direka oleh Ducati Corse melalui kerjasama rapat dengan Ducati Style Centre untuk meningkatkan tahap kecekapan aerodinamik.

Fairing yang dibangunkan itu juga dilengkapi winglet, atau dalam Bahasa Melayu lebih mudah disebut sebagai sayap, yang sebelum itu dibangunkan untuk jentera prototaip MotoGP. Diperbuat daripada carbon fibre, sayap tersebut meningkatkan stabiliti sewaktu pecutan dan menambahkan keyakinan serta prestasi penunggang.

Enjin Desmosedici Stradale 1,103cc pada model Panigale V4 S telah digantikan dengan enjin 998cc Desmosedici Stradale R, bagi membolehkan Panigale V4 R mematuhi had yang ditetapkan oleh peraturan WSBK. Walaupun lebih kecil, enjin 998cc itu dikatakan menawarkan prestasi lebih ekstrem dengan fokus utamanya adalah litar.

Keputusannya, bacaan kuasa enjin mencapai 221hp @ 15,250rpm dan boleh dipertingkatkan lagi kepada 234hp @ 15,500rpm jika dipasangkan komponen ekzos Ducati Performance daripada Akrapovic. Diringkaskan cerita, inilah model kilang Ducati paling berkuasa pernah dikeluarkan setakat ini.